Ular sawa tak sempat melahap dalam reban
Adie Sufian Zulkefli
Jun 15, 2020 10:45 MYT
Jun 15, 2020 10:45 MYT
Cubaan seekor ular sawa untuk melahap dengan menelan beberapa ekor angsa membawa padah apabila reptilia itu ditangkap di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai di Padang Terap pagi Isnin.
Terdahulu, ular sepanjang lima meter berkenaan sudah menelan seekor angsa di dalam sebuah reban, sekali gus menyebabkan angsa lain membuat bising ketika cuba mengelak daripada menjadi mangsa seterusnya.
Keadaan itu kemudian menarik perhatian seorang petani yang datang memeriksa, lalu terkejut mendapati ular yang kekenyangan itu sedang bergerak perlahan cuba menghampiri angsa lain.
Petani yang juga pemilik reban itu segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mendapatkan bantuan dalam kejadian jam 7.30 pagi itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib, berkata anggotanya menemui ular itu di dalam reban berkenaan dan mengambil masa 30 minit untuk menangkapnya.
"Keadaan reban yang sempit menyebabkan pasukan kita terpaksa berhati-hati. Ular seberat 40 kilogram itu kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap," katanya.