Ular sawa ditemui di Pulau Pinang bakal pecah rekod dunia?
Syafique Shuib
April 12, 2016 19:54 MYT
April 12, 2016 19:54 MYT
Media antarabangsa melaporkan bahawa ular sawa batik yang ditemui di Paya Terubong pada Khamis lepas bakal pecah rekod dunia Guinness World Records.
Menurut laporan The Guardian, ular sawa itu mungkin paling panjang yang pernah dicatat namun mati pada Isnin dan bertelur pada Ahad.
“Ia sepanjang 8 meter dan beratnya adalah 250kg,” kata seorang pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Herme Herisyam kepada The Guardian.
Walau bagaimanapun, The Star melaporkan bahawa ular itu sepanjang 7.5 meter.
Ular sawa paling panjang yang pernah dicatat oleh Guinness World Records sebelum ini adalah seekor ular sawa dari Missouri, Amerika Syarikat yang sepanjang 7.67 meter dan seberat 158.8kg.
Lapor Harian Metro, ular sawa berkenaan ditemui di tapak pembinaan lebuh raya di Jalan Paya Terubong / Relau di Pulau Pinang pada Khamis.
JPAM Daerah Barat Daya menerima panggilan daripada orang awam yang menemui ular sawa berkenaan.
Difahamkan, JPAM akan memberi butiran lanjut mengenai ular sawa hari ini.
Berita tentang ular sawa ini turut mendapat perhatian media antarabangsa The Guardian, Telegraph, BBC News, Newsweek dan The Independent.