Ular sawa 70kg kenyang telan kambing berjaya ditangkap
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 2, 2021 15:09 MYT
Oktober 2, 2021 15:09 MYT
TANJUNG MALIM: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan seekor kambing di Jalan Besar, Behrang Stesen di sini, petang semalam.
Reptilia seberat 70 kilogram itu ditemui salah seorang pekerja kandang kambing ketika sedang membersihkan kandang tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mualim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian sekitar pukul 2.30 petang, semalam dan bergegas ke lokasi.
Menurutnya, empat anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian untuk menangkap ular sawa tersebut yang sedang berlingkar di kandang kambing.
"Hasil pemeriksaan mendapati ular sawa itu baharu sahaja menelan seekor kambing di kandang tersebut dan berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dalam masa 10 minit.
"Ular sawa itu tidak melawan ketika ditangkap kerana kekenyangan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Menurut Shahrizal, ia merupakan kejadian pertama berlaku di kandang berkenaan dan pihak APM telah membawa ular berkenaan pulang ke pejabat terlebih dahulu.
"Kita bawa ular pulang dahulu ke pejabat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai," ujarnya lagi.