Ular sawa 100 kilogram diperangkap kekenyangan selepas baham kambing

Adie Sufian Zulkefli
November 29, 2016 10:52 MYT
Anggota APM yang tiba di lokasi penemuan ular sawa tersebut mengambil masa sejam bagi menangkapnya sebelum dibawa ke pusat Perhilitan. - Foto Astro AWANI
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dengan berat 100 kilogram di Kampung Luar Mukim Siong, Baling, Kedah.
Ular sawa itu ditangkap sebaik menerima aduan seorang penduduk kampung yang menemui reptilia itu dalam keadaan kekenyangan di kawasan paya berhampiran kandang kambing miliknya.
Firdaus Abdullah Halim, 34 tahun percaya kehilangan seekor kambing peliharaannya ada kaitan dengan ular terbabit.
Sementara itu, anggota APM yang tiba di lokasi penemuan ular sawa tersebut mengambil masa sejam bagi menangkapnya sebelum dibawa ke pusat Perhilitan.
APM pada masa sama menasihati orang ramai lebih berhati-hati dengan kehadiran haiwan berbisa.
Ini memandangkan musim hujan yang menyebabkan suhu menjadi lembap mampu mengundang kehadiran haiwan berbisa.
Mereka yang terjumpa haiwan berbisa diminta menghubungi talian 9-9-9 untuk bantuan kecemasan.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #Baling #Perhilitan #ular sawa batik