Ular 'panas' ceroboh rumah meningkat
Astro Awani
Februari 19, 2016 16:03 MYT
Februari 19, 2016 16:03 MYT
Ancaman daripada haiwan liar khususnya ular berbisa yang menceroboh kediaman penduduk di daerah Kota Setar, Kedah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar, Kapten Saifuddin Abdullah, peningkatan itu disebabkan cuaca panas akibat musim El Nino sekali gus mendorong haiwan berbisa itu mencari perlindungan baharu.
"Paling banyak adalah ular tedung senduk dan diikuti dengan ular tedung selar.
"Dua pertiga daripada keseluruhan kes sejak tahun ini melibatkan kategori ular berbisa, selebihnya ialah kes-kes lain seperti ular sawa dan ular susu kerbau," kata Saifuddin ketika ditemui di sini, hari ini.
Sejak awal tahun ini, sebanyak 38 kes tangkapan ular berjaya dilakukan pihaknya.
Kebanyakannya melibatkan kawasan lembap dan sejuk seperti di dalam tandas surau dan masjid serta di dalam rumah.
Sementara itu, seorang anggota JPAM Kota Setar Prebet Mohd Ilman Elias memaklumkan beliau berjaya menangkap tiga ekor ular dalam tempoh 48 jam lalu.
Salah satu daripadanya melibatkan kes ular tedung selar betina bersembunyi di bawah rak di dapur sebuah rumah di Kampung Lepai, Kepala Batas, Alor Setar.
Antara faktor lain yang menggalakkan reptilia yang mengancam nyawa itu sering memasuki rumah penduduk ialah keadaan tidak bersih serta bersemak.
"Apabila bertemu dengan haiwan yang berbisa ini anda dinasihatkan agar segera menelefon 999, Bomba atau JPAM untuk tindakan selanjutnya.
"Haiwan berbisa ini agak agresif apabila berdepan dengan manusia apabila ia berasa terancam ia akan patuk," ujar Mohd Ilman.
#Ancaman daripada haiwan liar khususnya ular berbisa yang menceroboh kediaman penduduk di daerah Kota Setar
#El Nino
#Kedah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu
#Saifuddin Abdullah