Ular menyorok dalam kolah mandi, wanita nyaris dipatuk
Salim Aziz
Mac 27, 2018 13:36 MYT
Mac 27, 2018 13:36 MYT
Seorang wanita nyaris dipatuk seekor ular tedung senduk sepanjang 3.5 meter apabila reptilia itu menyorok di dalam kolah di rumahnya.
Faridah Awang dari Kampung Tanjung Besar di sini, baru pulang dari menoreh getah apabila dia terdengar bunyi dengisan dari kolah mandi di luar rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Apabila dia menjenguk ke dalam kolah tersebut, tiba-tiba ular itu terus berdiri dan hampir mematuknya.
Faridah menjerit meminta tolong sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Panggil jiran sebelah suruh datang tengok ular, lepas tu pakat tengok tak berani masuk dekat… telefon APM suruh datang," katanya.
Pegawai APM Sik, Kapten Mohd Muhkrij Md Sabir yang dihubungi berkata, anggotanya berjaya menangkap reptilia seberat empat kilogram itu selepas bergelut lebih 20 minit kerana ia bertindak agresif.
Berdasarkan rekod, ini merupakan kes ke-38 membabitkan tangkapan ular di daerah itu sejak awal bulan lalu.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#APM
#dipatuk
#Kampung Tanjung Besar
#kolah mandi
#menyorok
#ular tedung senduk