Ular mahu 'tumpang' tidur, hajat lelapkan mata terus terbantut
Sinar Harian
April 3, 2018 23:40 MYT
April 3, 2018 23:40 MYT
Hajat seorang petani untuk melelapkan mata terbantut apabila seekor ular sedang menyelinap masuk ke bilik tidurnya kira-kira 2.30 pagi tadi di Kampung Putera Jaya, di sini.
Mat Sumadiah Yaakob, 38 tahun, berkata, dia yang baharu sahaja pulang dari kebunnya di Kampung Beris Tok Ku mahu tidur selepas selesai mandi.
"Saya baru balik dari kebun jam 1 pagi tadi, selesai mandi, saya nak masuk bilik tidur, kemudian terpandang seekor ular menyelinap masuk ke atas siling bilik tidur saya.
"Saya ambil masa juga nak pastikan ia berbisa atau ular biasa, sebelum telefon Angkatan Pertahanan Awam (APM) Setiu," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pegawai Pasukan Sukarelawan Pertahanan Awam Setiu, Mat Jais Mohd Yatim berkata, dia bersama tiga anggota keluar ke Kampung Putera Jaya kira-kira 4.40 pagi dan tiba 12 minit kemudian.
Menurutnya, seekor ular tedung selar seberat 1.5 kilogram dengan panjang dua meter berada atas siling rumah mangsa.
"Kami kemudian berusaha menangkap ular itu dan mengambil masa lebih kurang 28 minit kerana mengalami sedikit kesukaran.
"Ular itu berada atas siling separuh siap dan memerlukan masa untuk mengendalikan haiwan berbisa itu," katanya.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan reptilia itu kemudiannya dibawa ke pejabat APM untuk tindakan selanjutnya.
#angkatan pertahanan awam
#APM
#Kampung Beris Tok Ku
#Kampung Putera Jaya
#Mat Sumadiah Yaakob
#terbantut
#tumpang tidur
#ular