Ular laut berisiko ancam nyawa

Sinar Harian
September 16, 2022 07:45 MYT
Seekor ular dipercayai daripada spesies ular laut yang dijumpai berlingkar di atas pasir di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus pada Rabu. -Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Ular daripada keluarga hydropidae dan elapidae (laut) adalah spesies ular berbahaya yang berisiko mengancam nyawa sekiranya terkena gigitan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, bisa neurotoxin yang dimiliki ular berkenaan berisiko mematikan mangsa.
"Habitat ular daripada spesies ini biasanya berada di kawasan pesisir pantai, gigi laut serta kawasan paya bakau.
"Setakat ini, pihak APM belum pernah menangkap ular daripada spesies ini," katanya ketika dihubungi disini, pada Sabtu.
Menurut Mohd Rosman, rawatan Pressure Bandage Immobilise (PBI) diperlukan segera sekiranya terkena patukan haiwan itu.
"Jangan hampiri atau ganggu ular itu kerana walaupun ia kelihatan tenang, ia amat berbisa dan boleh membunuh manusia.
"Ular ini akan bertindak agresif apabila rasa dirinya terancam. Jadi, elakkan dari mendekati dan hubungi pihak APM utk tindakan lanjut.
"Sekiranya ada yang terkena gigitan perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Rabu lalu, seorang wanita nyaris terpijak seekor ular laut ketika bersantai bersama suami dan dua anak di Pantai Teluk Ketapang, disini.
BACA: Nyaris terpijak ular ketika bersantai di pantai
Ular berkenaan dijumpai dalam keadaan berlingkar di atas pasir ketika wanita berkenaan berjalan menuju ke kenderaan kira-kira jam 6.20 petang. - Sinar Harian
#ular laut #pesisir pantai #neurotoxin #APM
;