Ulangtahun ke-40 Hello Kitty dijangka tarik lebih 10,000 pengunjung
Bernama
Ogos 26, 2014 21:19 MYT
Ogos 26, 2014 21:19 MYT
Themed Attractions and Resort Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, menjangka dapat menarik lebih 10,000 pengunjung ke Sanrio Hello Kitty Town di Johor sempena sambutan ulangtahun ke-40 Hello Kitty.
"Syarikat menjangka jumlah pengunjung lebih tinggi dari tahun lepas kerana ia juga merupakan sambutan ulangtahun pertama Hello Kitty di Malaysia," kata Ketua Pegawai Pemasarannya Phillip Whittaker.
Whittaker berkata demikian pada taklimat media untuk mengumumkan sambutan ulangtahun ke-40 Hello Kitty, di sini hari ini.
Sambutan tiga hari itu, yang bermula pada 31 Okt hingga 2 Nov, 2014 akan diisi dengan karnival yang penuh aktiviti untuk peminat Hello Kitty.
Duta Hello Kitty bagi Malaysia, Joyce Tay, berkata Eropah merupakan pasaran runcit untuk produk-produk Hello Kitty terbesar diikuti dengan Asia.
"Jenama Hello Kitty bukan sekadar memberi fokus kepada produk wanita. Ia juga mengeluarkan produk lelaki seperti tali leher dan barang sukan," katanya.
Sementara itu, Themed Attractions and Resort dalam satu kenyataan berkata, majlis Hello Kitty Friends Gathering akan menjadi acara pertama perhimpunan peminat-peminat Hello Kitty yang terbesar di Asia Tenggara.
"Ia dijangka menjadi perhimpunan yang akan memecah rekod kerana beribu peminat Hello Kitty akan berkumpul untuk menjadi perhimpunan yang paling besar di luar Jepun," katanya.