Ulang tahun pertama tragedi MH17 bulan depan - Liow
Astro Awani
Jun 21, 2015 12:19 MYT
Jun 21, 2015 12:19 MYT
Ulang tahun pertama memperingati tragedi pesawat penerbangan MH17 ditembak jatuh dari ruang udara di timur Ukraine, akan diadakan bulan depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu depan untuk tindakan lanjut.
Menurut Tiong Lai, selain Malaysia, Belanda dan Australia turut mengadakan ulang tahun itu di negara masing-masing.
Malaysia Airlines (MAS) juga sedia menanggung perbelanjaan keluarga mangsa tragedi yang ingin menghadiri sambutan ulang tahun di Belanda.
Mengulas laporan interim yang disediakan pasukan penyiasatan keselamatan terhadap tragedi itu, Tiong Lai memaklumkan ia sepatutnya dikeluarkan sebelum ulang tahun nahas berkenaan.
Jelas Tiong Lai, pasukan penyiasat perlu menganalisis kejadian itu kerana rakyat mahu tahu kebenaran berkenaan dalang yang menembak jatuh pesawat malang berkenaan.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.