Ulang tahun Lembah Lenggong: Kesan limpah dirasai rakyat, kini tumpuan arkeologi dunia
Fareez Azman
Jun 30, 2022 17:53 MYT
Jun 30, 2022 17:53 MYT
KUALA LUMPUR: Sedekad Lembah Lenggong di Hulu Perak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 2012, kini pelbagai kesan limpahan dirasai terutama sosioekonomi serta pembangunan kawasan tarikan di daerah itu.
Bagi Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, pelbagai pembangunan masih dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan terutama dalam bidang arkeologi.
"Pertama saya ingin mengucapkan menyambut ulang tahun Lenggong sebagai Tapak Bumi UNESCO yang ke-10 disambut hari ini 30 Jun 2022.
"Ia merupakan satu tanda Lenggong telah diiktiraf UNESCO sebagai pusat arkeologi yang penting, bukan hanya di negeri Perak dan Malaysia malah di dunia.
"Ia satu amat membanggakan. Sudah tentu dalam tempoh 10 tahun daripada 2012, sudah berlaku banyak perubahan kepada rakyat dan negeri Perak hasil pengiktirafan ini," jelasnya.
Pusat arkeologi dunia
Tambah Shamsul Anuar, selain menjadi lokasi ekopelancongan dunia, Lenggong juga menjadi pusat kajian bagi pakar arkeologi seluruh dunia.
Malah beberapa majlis bertaraf antarabangsa turut diadakan di daerah itu, dan ia sekali gus mempromosikan Lenggong sebagai pusat arkeologi global.
"Jelas kelihatan setelah 10 tahun, jenama Lenggong itu sudah mula dikenali bukan hanya dalam kalangan rakyat Perak, Malaysia malah dalam kalangan pakar arkeologi seluruh dunia.
"Lenggong, khususnya Bukit Bunuh, adalah kawasan terawal manusia selepas Afrika. Berdasarkan data yang diperoleh, ia merupakan kawasan awal di Asia Tenggara ini... mula didiami manusia sekitar 830 tahun dahulu lagi. Daripada situlah perkembangan manusia di rantau ini," katanya lagi.
Naik taraf fasiliti
Dari sudut fasiliti pula, Muzium Arkeologi Lembah Lenggong antara yang diberi perhatian oleh kerajaan.
Ia menyaksikan pertambahan pengunjung domestik dan luar negara terutama bagi mendapatkan maklumat mengenai sejarah manusia.
"Kalau kita lihat dari awal, fasiliti dan bahan yang ditempatkan di muzium berkenaan kurang baik, tetapi kerajaan telah melabur di bawah Jabatan Warisan Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan dengan menaik taraf muzium bagi membolehkannya menjadi pusat maklumat.
"Daripada data yang kita peroleh, berlaku peningkatan kehadiran pengunjung, bukan sahaja di muzium. Pada masa sama, berlaku pembangunan di tempat penting seperti di Bukit Bunuh, dan beberapa tempat lain yang menjadi rujukan kepada pembangunan ekologi," ujarnya yang mengharap momentum itu berterusan.
Lahirkan usahawan
Dari sudut sosioekonomi, ujar Shamsul Anuar, pelbagai rumah inap dan resort telah dibangunkan oleh usahawan tempatan di sepanjang kawasan seluas 22,000 kilometer persegi itu.
Malah usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) juga tidak ketinggalan dapat mengeluarkan lebih banyak produk cenderamata dan kraftangan.
"Terutama dalam khidmat penginapan.. sudah banyak resort dan rumah tumpangan menyediakan penginapan (untuk menampung) pelancong yang datang. Ia banyak diusahakan masyarakat tempatan dan penggiat industri.
"Saya menjangkakan bahawa penginapan ini akan bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan permintaan ketika ini. Bukan hanya penginapan, inisiatif daripada Majlis Daerah Lenggong sudah ada peta pelancongan.
"Akhirnya kita dapat menyediakan pakej pelancongan menarik. Sudah tentu kita lihat banyak IKS tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dengan menyediakan makanan, pelancongan, cenderamata dan kraftangan," kata Ahli Parlimen Lenggong itu lagi.
Lembah Lenggong terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, Perak dan menjadi laluan utama ke Grik dan Pengkalan Hulu.
Antara yang menjadi perhatian di kawasan itu apabila tulang rangka Orang Perak berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun ini ditemui di dalam Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah pada 1991.
Selain itu, Bukit Jawa turut menjadi tarikan utama iaitu dipercayai menjadi tapak kebudayaan Paleolitik sekitar 100,000 hingga 200,000 tahun lalu.
Manakala Gua Kajang pula digunakan sejak 5,000 hingga 11,000 tahun lalu sebagai penempatan dan kawasan pengebumian membabitkan zaman Paleolitik dan Neolitik.