Ulang tahun ke-50 Malaysia-China: Hubungan diplomatik dua negara kekal utuh
Pia Ernadya
Mei 17, 2024 05:00 MYT
Mei 17, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan sikap neutral dan menerima hubungan diplomatik bersama China dengan hati yang terbuka.
Menurut penganalisis dari Institut Asia-Eropah, Profesor Madya Roy Anthony Rogers, ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan yang mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ada kelebihan ekonomi tidak kira sama ada dalam bentuk pelaburan, perdagangan mahupun dari segi peluang pekerjaan dan juga teknologi.
Beliau berkata, sikap neutral ini juga telah menjadi sebahagian daripada Dasar Forum Malaysia walaupun konsep zon keamanan, kebebasan dan neutraliti ini diadaptasi pada tahun 1971 semasa Deklarasi Kuala Lumpur
Pada 1974, Malaysia merupakan antara negara Asia Tenggara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China dan tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Hubungan Malaysia dan China kukuh kerana kedua-dua negara itu sama-sama diiktiraf sebagai negara berdaulat mengikut undang-undang antarabangsa.
“Keakraban di antara dua negara itu juga serupa dengan konsep 'menghormati' dan 'sanjung' yang jelas terbukti dalam sejarah awal negara Malaysia dimana sikap hormat-menghormati amat dititik berat,” kata beliau ketika berucap pada Forum Kebangkitan China: Perspektif Berbeza dari Eropah dan Asia di Auditorium, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, di sini, pada Jumaat.
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lepas, mewakili 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Sehingga Februari 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$15.52 bilion.