Ulang siar rancangan di stesen penyiar berbayar amalan biasa
Bernama
November 7, 2012 13:48 MYT
November 7, 2012 13:48 MYT
Ulang siaran rancangan di stesen penyiar berbayar merupakan amalan biasa bagi semua penyedia perkhidmatan tersebut di dunia, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata ulang siaran rancangan di stesen penyiar berbayar berlaku kerana beberapa faktor antaranya bagi memenuhi kehendak dan minat penonton.
"Selain itu faktor aspek penjadualan rancangan yang pelbagai untuk memastikan setiap rancangan dapat ditonton pelanggan pada masa yang dikehendaki mereka turut diambil kira," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) berkenaan tindakan stesen berbayar Astro yang sering menyiarkan rancangan berulang.
Mengenai soalan penyiaran iklan komersil yang semakin banyak di Astro pula Joseph berkata sepanjang suku pertama dan kedua 2012, Astro didapati tidak menyiarkannya melebihi jumlah masa yang ditetapkan.
"Syarat lesen Pemberi Prkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) (CASPI) yang terpakai ke atas badan penyiar berhubung iklan komersil menghendaki para pemegang lesen untuk menghadkan penyiaran kandungan iklan komersil mengikut jumlah masa yang telah ditetapkan.