Ulang alik 40km setiap hari untuk berniaga, Siti Hajura tidak pernah lelah
Hasimi Muhamad
September 21, 2020 15:14 MYT
September 21, 2020 15:14 MYT
Berulang-alik dari Tuaran ke Kota Kinabalu bukan penghalang bagi warga emas, Siti Hajura Abdullah untuk meneruskan perniagaan yang diusahanya sejak 45 tahun lalu.
Seawal pukul 4 pagi, peniaga minuman berusia 66 tahun itu akan memulakan perjalanannya ke Pasar Besar Kota Kinabalu yang terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari rumahnya bagi mencari rezeki.
Namun, Siti Hajura akur bahawa dalam perniagaan ada pasang surutnya, lebih-lebih lagi ketika dunia masih bergelut melawan musuh tidak nampak - COVID-19.
Berkongsi cerita dengan Astro AWANI, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, ada ketikanya dia hanya duduk berjam-jam untuk menunggu pelanggan singgah ke kedainya.
“Ya susah mahu dapat (pelanggan sekarang). Kalau dulu sini senang tak payah panggil, mereka (pelanggan) sendiri duduk.
“(Sekarang) mereka susah (impak COVID-19), kami pun susah (dapat pelanggan). Nak dapat RM60 pun susah, (bayangkan) dari pukul 5 pagi (kedai buka) sampai sekarang (tengah hari).
“Pada waktu pagi saja (pelanggan) ada sekitar pukul 9 atau 10 pagi… selepas itu kami duduk sudah (menunggu pelanggan). Paling tidak kadang-kadang satu jam tiada (seorang pun pelanggan) datang,” katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin
Jauh di sudut hati, Siti Hajura turut mengakui dia hampir putus asa untuk meneruskan perniagaan tersebut, ditambah pula pendapatannya merosot lebih tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
Ditanya mengenai bantuan kerajaan, Siti Hajura berkata, dia tidak sempat membuat permohonan kerana tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak berhubung perkara tersebut, ketika itu.
“Masa itu (permohonan bantuan) saya tidak tahu apa-apa… saya tidak terima apa-apa (bantuan). Tiada orang beritahu saya, cuma sekarang lesen (sewa kedai) belum bayar lagi,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, dia berkata, penangguhan bayaran sewa sedikit sebanyak meringankan bebannya menanggung kos operasi perniagaan.
Dalam masa yang sama, Siti Hajura menaruh harapan besar agar kerajaan negeri dan Persekutuan terus menghulurkan bantuan kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) dalam memulihkan kembali perniagaan mereka.
Selain menyediakan aneka minuman, kedai Siti Hajura turut menawarkan kuih-muih tradisional dan mee goreng.
#Barisan Nasional
#cerita rakyat sabah
#COVID-19
#Ekonomi Sabah
#Kota Kinabalu
#Peniaga minuman terjejas
#Perikatan Nasional
#PKP
#PKS
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#Siti Hajura Abdullah
#Warisan