Ulama Kedah, Paksu Mid Kuala Nerang meninggal dunia

Adie Sufian Zulkefli
November 11, 2022 22:20 MYT
Orang ramai memenuhi perkarangan rumah Allahyarham Paksu Mid (gambar kecil) di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA NERANG: Ulama terkenal Kedah, Tuan Guru Abdul Hamid Ismail yang turut dikenali sebagai Pak Su Mid Kuala Nerang meninggal dunia petang tadi dipercayai akibat sakit tua.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang di Putra Medical Centre (PMC) di sini.
"Allahyarham meninggal dunia di pusat rawatan swasta itu petang tadi, saya boleh sahkan dahulu.
"Saya difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua selepas beberapa lama dikhabarkan tidak sihat.
"Jenazah sudah dibawa pulang ke rumahnya di Kuala Pai, Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan dijangka dikebumikan esok pagi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di rumah Allahyarham di Kampung Kuala Pai malam ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menerusi hantaran Facebook beliau berkongsi berita kematian ulama berusia 96 tahun itu kira-kira jam 7.15 malam ini.
“Allahyarham ulama terkenal telah menghadap Pencipta "Permata Bumi Kedah" sebentar tadi.
"Semoga rohnya dihimpunkan bersama para anbiya dan orang orang soleh.. al-Fatihah," katanya.
Paksu Mid yang dilahirkan pada 1926 terkenal dengan kata-kata hikmahnya dan penuh kiasan dalam memberi nasihat.
#Paksu Mid meninggal dunia #ulama kedah #paksu mid kuala nerang #Abdul Hamid Ismail
;