Ulama disaran dekati media massa tangani fahaman ekstremisme

Bernama
November 26, 2017 23:04 MYT
Memberi kefahaman Islam tentang keadilan dan rahmatnya adalah jalan terbaik untuk menjaga dan menghalang masyarakat daripada jatuh ke lembah pengganas dan fahaman ekstremis.
Golongan ulama disaran menggunakan media massa bagi menangani fahaman ekstremisme dan mengelak umat Islam terpengaruh dengan dakyah yang dibawa kumpulan pengganas.
Pensyarah Fakulti Komunikasi, Al-Imam Muhammad Ibn Saud Islamic University, Arab Saudi, Dr Muhammad Al Bashar Muhammad Al-Khar'an berkata ulama perlu memainkan peranan penting dalam menerangkan imej Islam yang sebenar kepada masyarakat terutama kepada golongan bukan Islam.
"Sebahagian ulama dan para ilmuwan jauh dari media massa, sedangkan media massa menjadi antara saluran penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan menjaga imej Islam terhadap bukan Islam.
"Mereka (ulama) mampu menerangkan fahaman Islam sebenar melalui dua sumber penting iaitu Al-Quran dan As-Sunnah," katanya kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Kesan Buruk Media Terhadap Pemahaman Wasatiyyah (Mewujudkan Persengketaan dan Perselisihan Antara Umat Islam, Mengelirukan Hakikat Sebenar Tentang Ulama Dan Masyarakat Islam, Menyebarkan Ideologi Ekstremise) pada Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUC 2017) di sini, pada Ahad.
Katanya memberi kefahaman Islam tentang keadilan dan rahmatnya adalah jalan terbaik untuk menjaga dan menghalang masyarakat daripada jatuh ke lembah pengganas dan fahaman ekstremis.
Bertemakan 'Manhaj Ahli Sunah Menyatukan ASEAN', KUC 2017 selama dua hari bermula Ahad menyediakan platform perkenalan bagi sarjana Islam di Asia Tenggara untuk menjalin hubungan rapat untuk jangka panjang.
Sebanyak 30 kertas penyelidikan dijangka dibentangkan pada KUC 2017.
Antara negara yang menyertai persidangan itu ialah Arab Saudi, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Laos.
KUC 2017 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Jabatan Hal Ehwal Khas, Pertubuhan Al-Khadeem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia manakala Universiti Teknologi Mara pula berperanan sebagai penyelaras program.
Selain pembentangan kertas kerja, turut diadakan pameran yang disertai oleh pelbagai agensi, jabatan dan institusi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat secara langsung dalam KUC 2017.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyempurnakan majlis penutup persidangan pada Isnin.
-- BERNAMA
#Dr Muhammad Al Bashar Muhammad Al-Khar'an #Islam #media massa #pengganas #Zahid Hamidi
;