Ulama dan umara perlu bersatu dalam usaha tangani krisis melibatkan umat Islam kini
Bernama
Mei 23, 2016 18:15 MYT
Mei 23, 2016 18:15 MYT
Golongan ulama dan umara digesa bersatu dalam menangani pelbagai krisis yang melanda umat Islam ketika ini termasuk soal perpecahan, penyelewengan dan ancaman akidah, gejala sosial, serta isu keselamatan negara.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah hanya dengan wujudnya kesatuan antara dua golongan berkenaan, segala permasalahan yang melibatkan umat Islam akan dapat diatasi.
"Oleh itu, ulama dan umara perlu bersatu dan berhimpun di bawah agama kerana mereka adalah pewaris Nabi Muhammad SAW, ulama mewarisi ilmu daripada baginda manakala umara pula mewarisi kepimpinan atau politik.
"Hanya dengan kesatuan ini maka sesebuah kerajaan itu pasti bertambah kuat, nasib ummah akan terbela, negara akan bertambah maju dan aman damai," titah baginda ketika berucap merasmikan Seminar Ulama Pahang Kali Kelima di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. Seminar itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini yang melibatkan penyertaan 250 peserta.
Tengku Abdullah bertitah golongan ulama dan umara tidak boleh berpisah kerana mereka ibarat 'ilmu' dan 'politik' bagi umat Islam selain merupakan tokoh masyarakat paling utama serta berpengaruh.
"Ingatlah suara ulama sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya. Golongan ulama perlulah membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira tahap kedudukan dan kecenderungan pemikiran mereka.
Para ulama juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencilkan diri dalam dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata," titah baginda.
Titah baginda, tanggungjawab untuk membangunkan negara bukan hanya terletak kepada pemerintah semata-mata tetapi perlu penglibatan semua pihak terutamanya golongan ilmuwan.
Baginda bertitah perkara itu adalah kunci utama pembangunan ummah yang menjadi prinsip asas kejayaan generasi sahabat dalam menegakkan syariat Islam.
Pada majlis perasmian itu, Tengku Abdullah turut berkenan melancarkan laman portal Diraja Pahang iaitu www.dirajapahang.my yang diwujudkan sebagai satu medium untuk memaparkan berita terkini dan aktiviti melibatkan kerabat Diraja Pahang termasuk Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan baginda sendiri.
Tengku Abdullah bertitah menerusi portal itu diharapkan segala aktiviti melibatkan kerabat Diraja Pahang dapat dikongsi bersama rakyat sekali gus mengeratkan lagi jalinan ukhwah antara raja dan rakyat.