Ukraine sasar hubungan dagang lebih kukuh dengan Malaysia

Bernama
Mac 2, 2024 10:30 MYT
Mykhailiuk berkata, di sebalik situasi yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun lepas, hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Ukraine mencatat peningkatan yang baik pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ukraine bersedia mempergiat penglibatan serta meluaskan kerjasama dengan Malaysia merentasi semua sektor ketika negara Eropah timur itu berusaha untuk membina semula ekonomi yang terjejas akibat pencerobohan Rusia sejak dua tahun lepas.
Kuasa Usaha di Kedutaan Ukraine di Malaysia Denys Mykhailiuk berkata terdapat potensi besar kerjasama kedua-dua pihak terutama dalam industri pertanian dan agromakanan, kecerdasan buatan dan teknologi sistem keselamatan dan pertahanan.
"Apabila kami mula membina semula negara dan ekonomi dalam negara, kami juga giat mencari rakan kongsi dari luar untuk membantu kami mempercepatkan pertumbuhan ekonomi kami," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.
Beliau berkata di sebalik situasi yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun lepas, hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Ukraine mencatat peningkatan yang baik pada 2023 berbanding setahun sebelumnya.
Sejak bermulanya pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada 24 Feb 2022, perdagangan dua hala antara Ukraine dan Malaysia merosot dengan ketara selepas merekod aliran positif dalam tempoh enam tahun berturut-turut sebelumnya.
Sepanjang 2023, kedutaan itu meneruskan usaha secara sistematik untuk melaksanakan matlamat strategi dasar luar Ukraine untuk menyokong perdagangan dan pelaburan luar, dengan menyediakan sokongan dasar luar dan bantuan perundingan organisasi kepada pengeksport Ukraine dalam mengembangkan kehadiran mereka dalam pasaran Malaysia.
"Hasilnya, jumlah dagangan pada 2023 meningkat kembali hampir ke paras sebelum perang," katanya.
Menurut data Perkhidmatan Kastam Ukraine, dalam tempoh 11 bulan tahun 2023, jumlah dagangan antara Ukraine dan Malaysia bernilai US$ 374.8 juta (RM1.76 bilion), meningkat sebanyak 30 peratus berbanding 2022.
Jumlah dagangan antara negara pada 2022 bernilai US$90.68 juta, merosot sebanyak 77.6 peratus berbanding US$405 juta yang dicatatkan pada 2021.
Ukraine juga berusaha untuk bekerjasama lebih rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan pensijilan Halal.
Mykhailiuk berkata pada masa ini hanya terdapat satu pusat pensijilan halal di Ukraine yang diperakui oleh JAKIM dan beliau berharap agensi Malaysia itu akan mempertimbangkan untuk memperakui satu atau dua lagi pusat tersebut di negara itu.
Beliau berkata sistem pensijilan halal Malaysia diiktiraf dengan baik dan mendapat perhatian meluas di seluruh dunia.
"Dengan Ukraine sebagai pengeksport utama produk pertanian dan bahan makanan ke negara Afrika dan Teluk, saya optimis perkongsian itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.
Beliau juga menyasarkan perdagangan dan transaksi perniagaan yang lebih tinggi antara kedua-dua negara tahun ini.
"Kami berharap untuk melihat lebih ramai pengeluar pertanian Ukraine memasuki pasaran Malaysia dan perusahaan Malaysia ke negara itu, termasuk eksport buah-buahan tropika," katanya.
Beliau turut berharap program kerjasama dalam pendidikan dapat dimulakan tahun ini selepas ditangguhkan sejak 2020 akibat pandemik COVID-19.
Malaysia dan Ukraine menjalin hubungan diplomatik rasmi pada 3 Mac 1992.
-- BERNAMA
#Ukraine #Denys Mykhailiuk #hubungan dagang #sijil halal
;