Ukraine komited ke arah resolusi damai krisis Rusia-Ukraine - Kedutaan

Bernama
Februari 19, 2022 05:45 MYT
Seorang anggota tentera Ukraine berjalan di dalam rumah yang musnah berhampiran kampung Krymske dalam wilayah Luhansk, timur Ukraine, 19 Feb 2022. (Foto AP)
KUALA LUMPUR: Ukraine kekal komited ke arah penyelesaian krisis Rusia-Ukraine menerusi politik-diplomatik, menurut Kedutaan Ukraine di Malaysia.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kedutaan memaklumkan bahawa dakwaan mengenai Ukraine bercadang melancarkan serangan di wilayah yang diduduki sementara di Donetsk dan Luhansk, Donbas, sebagai tidak berasas dan tidak masuk akal.
Ukraine secara mutlak menolak "cubaan" Rusia memburukkan lagi situasi keselamatan yang sedia tegang.
"Ukraine tidak melakukan atau merancang sebarang tindakan sabotaj di Donbas. Rakyat kedua-dua negara tinggal di sepanjang sempadan negara.
"Keamanan, keselamatan dan kesejahteraan mereka adalah menjadi keutamaan Ukraine," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menuduh Moscow melakukan kempen menyebarkan maklumat palsu, sindiran dan tuduhan tidak berasas terhadap Ukraine, didakwa bertujuan mencipta alasan untuk memulakan serangan.
BACA: Rusia nafi terlibat dalam serangan siber ke atas Ukraine - Duta Rusia ke AS
BACA: Krisis Ukraine-Rusia: Apa punca sebenar?
Rusia pada Khamis menolak mengadakan rundingan Trilateral Contact Group anjuran delegasi Ukraine bagi membincangkan pengeboman bandar-bandar Ukraine di wilayah yang diduduki sementara, menurut kenyataan itu.
"Pada Jumaat, penduduk di kawasan berkenaan digesa berpindah sementara ke wilayah Rusia.
"Kami amat prihatin dengan laporan pergerakan secara besar-besaran kanak-kanak dari wilayah yang diduduki ke Rusia," tambah kenyataan itu.
Ukraine dibelenggu konflik dengan Rusia sejak pengilhakan Crimea pada Mac 2014.
Keadaan bertambah buruk selepas Moscow dilaporkan mengerahkan sejumlah besar tenteranya berhampiran sempadan Ukraine mencetus kebimbangan bahawa Kremlin merancang serangan terhadap bekas jirannya Soviet.
BACA: AS percaya Rusia akan lakukan muslihat serang Ukraine
BACA: Konflik Rusia-Ukraine: Ancaman pencerobohan sangat tinggi - Biden
Bagaimanapun, Rusia menafikannya dan menuduh negara-negara Barat menjejaskan keselamatannya melalui peluasan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sempadan negaranya.
Rusia turut menegaskan penempatan tentera dibuat di wilayah miliknya.
Menurut Agensi Anadolu, Kremlin turut menghantar senarai tuntutan keselamatan kepada Barat, termasuk penarikan semula penempatan tentera dari beberapa negara bekas Soviet dan jaminan bahawa Ukraine dan Georgia tidak akan menyertai NATO.
Dalam jawapan balas kepada tuntutan itu, menurut Washington ia komited menegakkan "dasar pintu terbuka" NATO.
Sementara itu, kedutaan Ukraine turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana terus menyokong kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine sejak bermulanya konflik pada 2014.
"Secara peribadi, kami tersentuh dengan pelbagai mesej, e-mel dan panggilan telefon daripada rakyat Malaysia yang menyatakan solidariti dan harapan mereka untuk keamanan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Ukraine #Rusia #resolusi damai #serangan
;