UKM, Taaveekun jalin kerjasama pembangunan R&D ke arah pertanian lestari
Astro Awani
September 1, 2024 15:10 MYT
September 1, 2024 15:10 MYT
BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi syarikat pemula inovasinya Pertanian Bersih Sdn Bhd (PBSB) menjalinkan kerjasama dengan syarikat baja terkenal Taavekun dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pertanian lestari.
Pengerusi Eksekutif PBSB, Prof Dr Che Radziah Che Mod Zain berkata, kerjasama itu memfokuskan kepada penyelidikan berasaskan harta intelek UKM iaitu Teknologi Pertanian Bersih (CAT) dalam menjalankan amalan pertanian bagi mengekalkan kelestarian rantaian nilai pertanian.
Beliau berkata, CAT adalah sistem pertanian yang selamat dan bersepadu yang menggabungkan bahan dan kaedah pertanian berasaskan pengetahuan saintifik dan diaplikasikan pada peringkat awal rantaian untuk meningkatkan hasil dan kualiti hasil pertanian di samping mengekalkan keharmonian tanah, tumbuhan, alam sekitar dan biodiversiti.
Beliau menjelaskan, CAT menggabungkan konsep sisa sifar yang bertujuan memaksimumkan pertanian yang selamat dan bebas daripada racun perosak dan racun herba.
Menurutnya, dengan itu, ia berupaya meningkatkan pendapatan petani dan menyumbang kepada pembangunan bio-pekeliling ekonomi pertanian negara.
"Dengan mengintegrasikan CAT dan konsep sisa sifar mempamerkan pendekatan yang komprehensif dan mampan.
"Melalui CAT juga, kami melaksanakan strategi seimbang yang merangkumi semua aspek proses pertanian di mana pendekatan ini memberi tumpuan kepada mengekalkan keseimbangan nutrien dengan memastikan tumbuhan menerima jumlah nutrien yang betul, menggalakkan penyerapan nutrien yang optimum.
"Hasilnya, tumbuhan menjadi lebih sihat dan membangunkan sistem imun yang lebih kuat yang meningkatkan daya tahan mereka terhadap penyakit dan perosak serta memupuk ekosistem yang berkembang maju,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Ahad.
Majlis pemeteraian perjanjian di antara Taaveekun dengan PBSB berlangsung di UKM, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Taaveekun, Md Fadzilah Ariffin optimis anak syarikatnya Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd (Taaveekun Manufacturing) mampu mencapai sasaran jualan sehingga RM60 juta menjelang akhir tahun ini berbanding lebih RM50 juta pada tahun lalu.
Beliau yang juga pengasas syarikat memberitahu, keyakinan itu berdasarkan kerjasama pihaknya dengan PBSB yang akan membolehkan rangkaian produk syarikat memiliki Harta Intelek UKM iaitu CAT, dan terdapatnya logo UKM yang akan memudahkan serta merancakkan lagi aktiviti pemasaran Taaveekun.
"Dengan menghalang larut lesap nutrien, produk baja kami yang memiliki CAT melindungi bukan sahaja tumbuh-tumbuhan tetapi juga tanah, persekitaran sekeliling dan biodiversiti, memupuk ekosistem yang berkembang maju.
"Keseimbangan holistik ini bukan sahaja membawa kepada hasil yang lebih tinggi dan berkualiti tetapi juga meningkatkan pendapatan petani dengan menghasilkan tanaman yang memenuhi permintaan pasaran.
"Yang penting, strategi kami menyokong kemampanan di seluruh rantaian nilai agro, memastikan produktiviti dikekalkan tanpa menjejaskan kesihatan jangka panjang alam sekitar dan sumber pertanian," ujarnya.
Sementara itu, antara produk popular Taaveekun adalah perapi tanah atau Soil Amendment dan juga Smart Fertilizer.
Kapasiti pengeluaran baja dari kilangnya yang terletak di Bukit Kayu Hitam dan ibu pejabat di Kota Sarang Semut, Kedah setiap tahun adalah antara 35,000 hingga 40,000 tan (35 juta hingga 40 juta kilogram).
Selain beroperasi di Thailand, Taaveekun telah bertapak di negara Brunei sejak enam tahun lalu dan sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Kemboja dan juga Indonesia.