UKM orak langkah martabat Bahasa Melayu di Uzbekistan

Eton Khir
Mac 30, 2022 08:45 MYT
MoU itu adalah untuk kerjasama strategik bagi jaringan penyelidikan, mobiliti pelajar dan pertukaran pensyarah Malaysia-Uzbekistan dan Uzbekistan-Malaysia. -Foto UKM
BANGI : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang bekerjasama dengan Tashkent State University of Oriental Studies (TSIOS) di Uzbekistan untuk mewujudkan Kursi Bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa.
Pengarah Institut Islam Hadhari (Hadhari) UKM, Prof Fariza Md Sham, berkata inisiatif itu masih dalam perbincangan dan akan cuba dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Kami membuat perancangan untuk mewujudkan Kursi Bahasa Melayu di TSIOS sebab di sana sudah ada subjek Bahasa Melayu.
"Kami sudah berbincang bersama Timbalan Menteri Luar Uzbekistan, Furkat Sidikov dan dalam masa terdekat ini, kami akan perhalusi cadangan ini dengan lebih terperinci.
"Jika berkesempatan, kami akan cuba mewujudkannya kerana tiga pensyarah kami akan melaksanakan penyelidikan di Imam Bukhari International Scientific Research Centre di sana," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan International Islamic Academy of Uzbekistan dan TSIOS, di sini, pada Selasa.

Perjanjian Memorandum (MoU) antara UKM dengan International Islamic Academy of Uzbekistan dan Tashkent State University of Oriental Studies, Uzbekistan. Berita penuh https://t.co/vnCq75bg1I#UKM #UKMSharing #UniversitiWatanKita pic.twitter.com/wzZ7kq2zzj

— UKM (Malaysia) (@ukm_my) March 29, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Turut hadir, Sidikov; Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Mohamad Abd Razak; dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Ts Mohd Ekhwan Toriman; dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat) UKM, Prof Datuk Norazah Mohd Nordin.
Sementara itu, mengulas mengenai MoU berkenaan, Norazah berkata ia jalinan kerjasama strategik dalam jaringan penyelidikan, mobiliti pelajar, dan pertukaran pensyarah kedua-dua negara.
"Dengan termeterainya MoU ini, ia akan merapatkan lagi hubungan antara UKM dan kerajaan Malaysia dengan institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan," katanya.
Tambahnya, kerjasama di antara UKM dengan institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan telah terjalin sejak 12 tahun lalu melalui jaringan perkongsian pelbagai sektor.
#UKM #Uzbekistan #Kursi Bahasa Melayu #Fariza Md Sham
;