UKM kini antara universiti terbaik Asia
Hilmi Malik
November 4, 2021 13:50 MYT
November 4, 2021 13:50 MYT
KUALA LUMPUR : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berada di dalam angka lima peratus terbaik dalam kalangan universiti Asia.
Perkara itu menjadikan UKM melonjak pada kedudukan ke-33 dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2022 (QS AUR 2022) seperti yang diumumkan pada Rabu.
Pencapaian itu juga dibuat berdasarkan 11 indikator utama antaranya Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty Student, Staff with PhD dan Citations per Paper.
Menurut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, faculty student telah menunjukkan prestasi yang terbaik di mana ia berada di kedudukan ke-10 Asia, diikuti dengan Academic Reputation (32 terbaik Asia) dan Employer Reputation (35 terbaik Asia).
“Sebagai universiti watan, UKM akan meningkatkan usaha dan kualiti seiringan dengan nilai TERAS yang menjadi naratif baharu UKM.
“Peningkatan QS AUR 2022 ini dilihat sebagai pengiktirafan kepada UKM yang telah mencapai usia 51 tahun.
“Penghargaan juga diberikan kepada profesor, pensyarah, pengurusan, kakitangan dan pelajar atas usaha dan sumbangan mereka yang gigih ke arah kecemerlangan UKM,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, UKM akan terus memperkasakan kualiti pendidikan selain memperkukuhkan peranannya dalam meneraju pendidikan tinggi negara khususnya buat seluruh masyarakat Malaysia.