UKM beri amaran keras, denda mahasiswa protes gangguan bekalan air
T K Letchumy Tamboo
Jun 29, 2015 18:01 MYT
Jun 29, 2015 18:01 MYT
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memberi amaran keras dan mendenda empat daripada 13 mahasiswanya yang terlibat dalam bantahan terhadap masalah gangguan bekalan air di kampus itu tiga bulan lalu.
Astro AWANI difahamkan tindakan diambil ekoran empat mahasiswa terbabit, yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin universiti itu, mengaku tidak bersalah di atas kesalahan tersebut dan dibicarakan serta merta, manakala sembilan mahasiswa lain yang turut mengaku tidak bersalah, akan dibicarakan dari Julai hingga September.
Protes yang diadakan terhadap masalah gangguan bekalan air di kampus - Sumber Mahasiswa Tuntut Air
Mahasiswa-mahasiswa yang terlibat telah menerima sepucuk surat bertarikh 15 Jun, di mana universiti itu mendakwa pelajar-pelajar tersebut menyertai "protes haram" pada 27 Mac, membantah bekalan air yang terputus di beberapa kolej kediaman di universiti itu.
Usaha Mahasiswa
Sumber yang sama berkata mahasiswa-mahasiswa yang sudah hampir dua minggu tidak mendapat bekalan air, terpaksa mengorak langkah sendiri apabila pihak universiti tidak memberi kerjasama membekalkan air.
Antara lain, mahasiswa-mahasiswa berkenaan menyerahkan satu memorandum kepada Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan kemudiannya hadir ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri untuk meluahkan masalah mereka kepada adun-adun di sana.
Selepas mendengar cerita sayu mahasiswa-mahasiswa tersebut, adun-adun berkenaan menyumbangkan sebanyak 1,000 botol air mineral 5 liter dan 40 kotak air mineral 500ml.
Mahasiswa-mahasiswa itu turut melancarkan tabung sumbangan di pasar malam Seksyen 1 Bangi, di mana, duit yang dikumpulkan digunakan untuk menyewa sebuah lori untuk membawa kesemua bekalan air tersebut ke universiti mereka.
Selain itu, bantahan terhadap masalah gangguan bekalan air itu turut diadakan.
“Kami tahu mengadakan bantahan salah di sisi undang-undang universiti. Kami berbuat demikian kerana terdesak,” kata sumber itu.
Sumber itu juga berkata pihak universiti harus melakukan sesuatu dengan segera sebelum isu itu bertambah parah.
Tambahnya, pihak universiti menuduh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang bertanggungjawab ke atas ketiadaan bekalan air ini walaupun pihak Syabas sudah menjelaskan bahawa sistem perpaipan di UKM yang tidak diselenggara dengan baik menjadi punca masalah itu berlarutan.