UKKM tawar potongan 50 peratus yuran kepada kumpulan pelajar pertama
Israr Khalid
Mei 25, 2023 10:00 MYT
Mei 25, 2023 10:00 MYT
PETALING JAYA: Sejumlah 300 hingga 500 pelajar pertama yang mendaftar untuk menuntut di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) diberi potongan bayaran yuran pengajian sebanyak 50 peratus.
Kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Hadiah Pendidikan Koperasi itu adalah satu tanda penghargaan kepada bakal pelajar yang mempercayai visi dan misi UKKM untuk memperkasa seluruh komponen dalam bidang koperasi di negara ini.
Jelasnya, kewujudan UKKM akan menjadi pelengkap kepada peranan sedia ada Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebagai sebuah institusi pendidikan koperasi sepertimana yang digariskan dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 serta Dasar Keusahawanan Negara.
“Golongan pelapis kepimpinan koperasi perlu disediakan dan diberi peluang untuk mengisi tempat apabila tiba masanya, dan dalam konteks negara ini, UKKM merupakan satu-satunya institut pendidikan jangka panjang yang dirangka bagi menyediakan dan menghasilkan golongan profesional dlm kebitaraan keusahawanan koperasi.
“Adalah menjadi harapan saya agar UKKM dijadikan institusi latihan bagi pembelajaran sepanjang hayat dalam mentransformasi dan membina gerakan koperasi yang lebih kompeten dan berdaya saing,” katanya dalam Majlis Prapelancaran UKKM di kompleks IKMa di sini pada Selasa.
UKKM, institusi pengajian tinggi pertama negara ini yang memberi penumpuan kepada lapangan keusahawanan koperasi telah mula beroperasi sejak 29 Mac 2023 akan memulakan sesi pengajaran dan pembelajarannya pada September ini untuk Program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, sementara untuk program Sarjana akan dimulakan lebih awal iaitu pada Julai 2023.
Sebagai permulaan, lima program pengajian ditawarkan UKKM, iaitu Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi), dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi).
Ewon turut menyeru supaya lebih ramai golongan muda menyertai UKKM supaya jenama koperasi dapat diremajakan dan dilihat sebagai satu cabang karier yang profesional dan bermaruah, pada masa sama perlu disokong dengan ekosistem pengaplikasian ilmu yang lebih tersusun dan komited.
“Saya mengalu-alukan tesis dihasilkan oleh pelajar kita ini, yang boleh menjadi rujukan kepada kementerian atau agensi di bawah kementerian seperti bagaimana dapat menambah baik perkhidmatan atau inisiatif yang terkait dengan sektor keusahawanan.”
Beliau turut menerima baik dan memberi galakan kepada hasrat UKKM untuk menjalin kerjasama dengan semua sektor koperasi di serata negara ASEAN dalam pelbagai bidang, yang dilihatnya dapat meluaskan seterusnya memperkukuh jenama dan kredibiliti UKKM sebagai sebuah institusi yang berprestij.
Pada majlis prapelancaran tersebut, Ewon diumum sebagai Canselor UKKM yang pertama sementara Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy pula menjadi pelajar pertama menerima surat tawaran meneruskan pengajian dalam program Sarjana Pengurusan Perniagaan di universiti tersebut.