UK terus menyokong pembangunan TVET Malaysia - Duta
Bernama
September 29, 2023 04:40 MYT
September 29, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) akan meneruskan kerjasama dengan Malaysia bagi menyokong cita-cita negara untuk menjadikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pemacu utama kemakmuran ekonomi.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry berkata< UK berdedikasi untuk meningkatkan akses kepada kemahiran dan pendidikan, memastikan kesediaan tenaga kerja global serta menggalakkan keterangkuman sosial dan kesaksamaan jantina.
Dalam pada itu, Program Kemahiran untuk Kemakmuran di Malaysia (SfP-Malaysia) yang dikendalikan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan dibiayai oleh kerajaan UK, baru-baru ini telah merumuskan bahawa UK sedang berusaha untuk mengukuhkan jalinan kerjasama di peringkat seterusnya dengan kerajaan Malaysia dalam TVET, katanya.
"Tanpa TVET yang benar-benar mantap, saya tidak fikir Malaysia akan berjaya dalam cita-citanya seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, jadi kami mahu menyokong semampu kami," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan SfP-Malaysia, di sini, pada Jumaat.
Sebagai Pesuruhjaya Tinggi British yang baharu ke Malaysia, Terry menyuarakan hasratnya untuk memastikan semua sekolah dan kampus universiti UK di negara ini menyumbang secara aktif membantu usaha kerajaan Malaysia dalam mencapai matlamat TVETnya.
"UK sudah mempunyai lima universiti di Malaysia. Ia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai kerjasama sebanyak itu," katanya.
Mengenai program SfP, beliau berkata ia telah disampaikan secara global di sembilan negara sejak 2019 dengan matlamat untuk memahami keperluan pendidikan dan kemahiran masa depan serta memastikan kanak-kanak perempuan dan wanita mendapat akses pembelajaran yang saksama dan diperkasakan dari segi ekonomi.
Lebih 12,000 rakyat Malaysia, termasuk pelajar, pekerja, usahawan kecil dan sederhana, pegawai kerajaan, kakitangan institusi TVET dan ahli industri, ahli akademik dan organisasi sektor swasta lain telah mendapat manfaat daripada program ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Serantau ILO bagi Asia dan Pasifik Panudda Boonpala berkata program itu telah memperkukuh kualiti TVET dengan penekanan khusus dalam menggalakkan integrasi kemahiran generik berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ke dalam sistem TVET .
Ia juga telah menyumbang kepada pembangunan pelan hala tuju pembangunan bakat digital dan Pendaftaran Kemahiran Kebangsaan, yang penting bagi memudahkan transformasi digital sistem TVET Malaysia dan menyokong jangkaan dan pemadanan keperluan kemahiran masa depan.
"Kami akan terus melibatkan diri dan membawa kepakaran teknikal di peringkat global dan serantau ke Malaysia dan juga sebaliknya. Kami menimba banyak pengalaman dari Malaysia dan untuk bekerja di negara lain juga," katanya. - BERNAMA