UK minat pelajari model Malaysia tangani kumpulan pelampau Islam - Ahmad Zahid
Bernama
November 9, 2015 07:23 MYT
November 9, 2015 07:23 MYT
Malaysia akan berkongsi pengalamannya dengan United Kingdom dalam program deradikalisasi terhadap kumpulan pengganas dan pelampau Islam, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata United Kingdom tertarik dengan model program deradikalisasi diamalkan oleh Malaysia, yang terbukti menghasilkan 95 peratus kejayaan memulihkan pihak yang berkenaan.
Deradikalisasi merujuk kepada tindakan mengubah kepercayaan ekstrem dalam kalangan anggota militan seperti mati syahid dalam perjuangan.
"Program ini kita telah laksanakan sejak zaman darurat pada 1948 dan ia diperkemaskan dari semasa ke semasa apabila Malaysia berhadapan dengan pelbagai kumpulan pengganas dan pelampau agama," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari kedua lawatan beliau ke United Kingdom.
Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke United Kingdom, pada sebelah pagi Isnin mengadakan pertemuan tertutup dengan agensi keselamatan United Kingdom.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan mengundang Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom Theresa May untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Melampau di Malaysia, yang dijadualkan pada 25 dan 26 Januari tahun depan.
United Kingdom, katanya akan menghantar pegawainya ke Malaysia tidak lama lagi sebagai susulan untuk mempelajari model Malaysia dalam program deradikalisasi itu.
Ahmad Zahid berkata United Kingdom dan Malaysia juga bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama dalam soal penghantaran pulang individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan yang melibatkan rakyat dari kedua-dua negara.
Pengukuhan dalam kerjasama menangani ancaman jenayah rentas sempadan itu akan melibatkan penghantaran pulang individu yang terlibat dalam kumpulan Daesh (pengganas, yang dulunya dikenali kumpulan militan IS) terutamanya di Syria dan Iraq yang melibatkan rakyat dari kedua-dua negara.
Lawatan Ahmad Zahid, yang pertama oleh beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-United Kingdom terutamanya dalam bidang keselamatan dan imigresen.
"Menerusi lawatan ini juga, saya berharap dapat mempelajari pengalaman serta amalan terbaik UK (United Kingdom) berkaitan dengan saringan kemasukan pelawat asing ke negara itu secara lebih efektif seperti yang dilaksanakan National Border Tracking Centre di Manchester.
"Ini berkait rapat dengan perancangan negara untuk mempertingkatkan perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia menerusi Sistem Keselamatan Imigresen Nasional (SKIN)," katanya.