Ujian sebenar pemimpin adalah menerusi tindakannya - PM Anwar
Bernama
November 15, 2023 07:50 MYT
November 15, 2023 07:50 MYT
SAN FRANCISCO: Ujian sebenar bagi seseorang pemimpin adalah semasa dia berkuasa, sama ada pemimpin itu berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, dan bukan semata-mata menjadi 'penunggang' agama atau moral.
"..kerana akhirnya anda dinilai orang ramai menerusi tindakan anda. Orang ramai berikan anda tempoh tertentu, tapi mereka perlu lihat sama ada anda benar-benar serius.
"Semua pemimpin politik dinilai sama begitu, (termasuk) semua pemimpin pembangkang yang mendapat kuasa dengan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa," kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ditanya bagaimana pemimpin boleh pastikan bahawa mereka tidak ditenggelamkan oleh retorik, dapat fokus kepada isu sebenar dan bertanggungjawab terhadap generasi akan datang.
"Ujian sebenar ialah semasa anda berada pada kedudukan dipertanggungjawabkan, sama ada anda dapat menyempurnakan tanggungjawab.
"Kedua, sudah pasti berkenaan dasar ekonomi yang jelas," katanya semasa sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC Ke-30 bertemakan "The Global Economy and State of The World," di sini, Rabu.
Oleh itu, katanya kepercayaan orang ramai sememangnya semakin terhakis apabila pemimpin tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya.
"Jadi, anda betul, kerana keyakinan orang ramai terhadap pemimpin, mahupun pemimpin parti, semakin pudar disebabkan retorik, pious platitude.. apabila tidak ada tindakan konkrit," katanya.
Anwar tiba di sini pada Isnin (13 Nov) untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dari 14 hingga 17 Nov, yang merupakan penampilan sulung beliau selaku Perdana Menteri Malaysia pada mesyuarat itu.
Beliau diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
-- BERNAMA