Ujian saringan secara besar-besaran di Sibu Jaya tidak capai sasaran

Astro Awani
Februari 1, 2021 12:59 MYT
Jumlah kehadiran yang rendah dipercayai ramai dalam kalangan penduduk di sana sudah melakukan ujian saringan di Klinik Kesihatan Sibu Jaya. FOTO: Facebook / Dr Annuar Rapaee
SIBU: Sasaran untuk mengumpulkan kira-kira 2,000 sampel ujian saringan COVID-19 tidak tercapai selepas hanya 668 individu hadir bagi menjalani ujian saringan secara besar-besaran yang dijalankan di Pasar Tamu Sibu Jaya pada Ahad.
Ujian saringan secara besar-besaran ini merupakan yang kedua dijalankan selepas pemeriksaan serupa diadakan di Stadium Tertutup Sibu pada 12 Januari lalu.
Menurut Penolong Pegawai Kesihatan Alam Sekitar, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, Mohd Nor Akmal, jumlah kehadiran yang rendah dipercayai disebabkan ramai dalam kalangan penduduk di sana sudah melakukan ujian saringan di Klinik Kesihatan Sibu Jaya.
“Kami selesai menjalankan keseluruhan ujian saringan pada jam 2 petang dan menjangkakan kira-kira 2,000 sampel diambil.
BACA: 10 unit tambahan mesin bantuan pernafasan untuk Hospital Sibu
“Ini kerana angka sama diperoleh semasa pemeriksaan serupa dijalankan di Stadium Tertutup Sibu dan ketika itu lebih 1,000 individu hadir menjalani saringan pada hari pertama,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan kali ini melibatkan 30 kakitangan kesihatan dan dibantu oleh petugas kesihatan dari Sarikei dan Samarahan.
Ujian saringan besar-besaran ini dijalankan susulan peningkatan kes positif di daerah berkenaan.
Sehingga kini, Sibu masih dikategorikan sebagai zon merah dengan 994 kes masih menerima rawatan di Hospital Sibu.
#ujian saringan #COVID-19 di Sibu #ujian saringan COVID-19 #kluster aktif di Sibu #Stadium Tertutup Sibu #Kluster Pasai di Sibu
;