Ujian pengesahan COVID-19 boleh dijalani di rumah - KP Kesihatan
Umavathi Ramayah
Mac 9, 2020 21:20 MYT
Mac 9, 2020 21:20 MYT
Orang ramai kini boleh menjalani ujian COVID-19 di rumah tanpa perlu hadir ke hospital, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, pengambilan sampel itu akan dilakukan oleh pegawai perubatan dan paramedik swasta yang terlatih dan sampel tersebut kemudian akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.
"Perkhidmatan ini bagaimanapun tertakluk kepada bayaran yang dikenakan oleh pihak swasta terbabit," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.
Difahamkan setiap ujian yang akan dikendalikan oleh tiga pegawai perubatan swasta itu melibatkan kos antara RM600 dan RM700.
Dr Noor Hisham berkata, sekiranya ujian mendapati positif COVID-19, mereka akan dirujuk ke hospital kerajaan.
Buat masa ini jelasnya, KKM mengadakan kolaborasi dengan Bookdoc, Pantai Premier Pathology Sdn Bhd, Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ), Qualitas Medical Group Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Jospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka, Twin Tower Medical centre, KLCC dan DoctorOnCall.
Senarai hospital itu katanya, akan ditambah dari semasa ke semasa.
"Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan memuatnaik aplikasi berkaitan serta melayari laman web syarikat-syarikat berkenaan bagi maklumat lanjut," jelasnya.
Ditanya mengenai penularan wabak COVID-19 yang dikaitkan dengan suhu, Dr Noor Hisham menjelaskan, COVID-19 tidak dapat bertahan lama sekiranya suhu melebihi 30 darjah Celcius.
"Semasa musim sejuk, virus ini akan lebih mengganas jika dibandingkan di kawasan panas," ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan, KKM sedang mempertimbangkan sama ada sekatan kemasukan sementara akan diperluaskan atau sebaliknya.
Buat masa ini katanya, KKM kini sedang memantau rapat penularan wabak tersebut di Amerika Syarikat (AS), Perancis, Sepanyol dan switzerland.
Sebelum ini Malaysia menyekat sementara kemasukan pelawat dari China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.
#coronavirus
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Korea Selatan
#koronavirus
#Noor Hisham Abdullah