Ujian klinikal fasa-3 di Sarawak lancar ikut protokol

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 27, 2021 19:35 MYT
Ujian itu akan dilaksanakan oleh pasukan pakar Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC).
KUCHING: Ujian klinikal fasa-3 vaksin COVID-19 di Sarawak, berjalan lancar mengikut protokol yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing, ujian itu akan dilaksanakan oleh pasukan pakar Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC).
"Kita akan memastikan ujian ini dilaksanakan mengikut protokol dan setiap sukarelawan yang terlibat akan melalui beberapa prosedur wajib termasuk tahap kesesuaian serta persetujuan mereka.
"Separuh daripada sukarelawan terlibat akan menerima vaksin dan separuh lagi menerima plasebo (bahan atau rawatan dengan tiada kesan terapeutik aktif).
"Harus diingat, JKNS akan mengawasi dan menyelia segala tindakan balas yang dikesan sepanjang ujian serta memberikan rawatan diperlukan sehingga ujian klinikal itu selesai," katanya pada sidang media harian COVID-19 Sarawak pada Rabu.
Hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan memberitahu, kajian klinikal fasa-3 vaksin COVID-19 dimulakan hari ini di sembilan hospital dengan melibatkan 3,000 sukarelawan.
Selain HUS, antara hospital yang terlibat dalam percubaan klinikal di bawah penyelarasan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) ialah Hospital Ampang, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultan Abdul Halim.
Lebih 500 sukarelawan di Sarawak telah berdaftar di negeri itu untuk menjalani ujian klinikal tersebut.
#ujian klinikal vaksin #COVID-19 #Sarawak #Dr Chin Zin Hing #Pengarah Kesihatan Sarawak #sukarelawan #vaksin COVID-19 #plasebo
;