Ujian histopatologi ikan paus siap dua hingga tiga minggu

Shahrul Hassan
Februari 11, 2016 14:10 MYT
Ujian tersebut melibatkan tisu yang diambil dari bangkai ikan paus berkenaan untuk mengetahui punca kematian, sama ada ianya melibatkan penyakit dalaman. - Foto Bernama
Laporan ujian histopatologi terhadap bangkai ikan paus yang ditemui mati terdampar di muara Sungai Sarang Buaya Batu Pahat pada Rabu, hanya akan diketahui selepas dua hingga tiga minggu ujian dijalankan.
Ujian tersebut melibatkan tisu yang diambil dari bangkai ikan paus berkenaan untuk mengetahui punca kematian, sama ada ianya melibatkan penyakit dalaman.
Namun Pengarah Perikanan Negeri Johor, Munir Mohd Nawi berkata, keputusan bedah siasat secara fizikal yang bermula 11 pagi tadi adalah untuk mengetahui sekiranya paus tersebut memakan makanan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kematian.
BACA: Bangkai ikan paus ditemui di Batu Pahat dibawa ke Jabatan Perikanan untuk dibedah siasat
BACA: Ikan paus dijumpai terdampar di Pontian
FOTO: Ikan paus seberat 15 tan ditemui mati di pesisir Pantai Sarang Buaya
“Sebenarnya hari ini akan buat bedah siasat oleh daripada Jabatan Perikanan Terengganu, Jabatan Veterinar Johor seramai 5 orang akan bersama-sama buat bedah siasat .
“Juga kajian lanjut untuk melihat sebab sebenar kematian, sekejap lagi... kalau untuk fizikal dah nampak dalam kandungan, kalau histopatologi itu ambil masa,” kata beliau ketika ditemui pemberita di pejabat Perikanan daerah Batu Pahat di sini hari ini.
Menurutnya lagi, setelah dibedah siasat, rangka dan tulangnya akan diambil untuk disimpan di galeri sementara di Kompleks Perikanan di Tampoi Johor Bahru.
Galeri sementara itu turut menjadi platform untuk memberi penerangan kepada orang awam mengenai spesis marin terancam.
Ia merupakan sebahagian dari rancangan Jabatan Perikanan untuk mewujudkan galeri tetap yang dapat mengumpulkan segala spesis marin terancam lain.
Menurutnya, terdapat 15 spesis ikan paus dikesan berada di perairan Malaysia.
Ikan paus yang ditemui mati di muara Sungai Sarang Buaya Semerah Batu Pahat pada 9 Februari lepas merupakan paus jantan dewasa dari spesis sei atau nama saintifiknya balaenoptera borealis.
#Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia #APMM #Batu Pahat #ikan paus #Sarang Buaya
;