Ujian e-hailing: 'Kalau pemandu OKU boleh, kenapa pemandu biasa tidak? - Anthony Loke

Azyyati Ahmad
Julai 1, 2019 13:57 MYT
ANTHONY LOKE: Kalau pemandu OKU sendiri boleh menempui rintangan dan kesukaran, masih sanggup untuk menduduki ujian (e-hailing) ini, apa yang menghalang pemandu-pemandu biasa daripada menjalani proses yang sama. --fotoBERNAMA
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memuji semangat yang dizahirkan lebih 250 pemandu dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang hadir mengambil ujian e-hailing, hari ini.
Beliau berkata sepatutnya semangat itu dicontohi pemandu-pemandu e-hailing lain, kerana ada di antara mereka yang masih enggan menduduki ujian bagi mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Katanya, apa yang dilakukan Kerajaan ketika ini adalah demi memastikan industri e-hailing beroperasi mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bukan sebaliknya.
"Kalau pemandu OKU sendiri boleh menempui rintangan dan kesukaran, masih sanggup untuk menduduki ujian (e-hailing) ini, apa yang menghalang pemandu-pemandu biasa daripada menjalani proses yang sama.
“Sesuatu yang kita tak boleh paksalah, kalau ada ujian ini mereka tak nak jadi pemandu e-hailing, jadi ini sesuatu pilihan kepada rakyat.
"Dalam negara yang ada undang-undang, kita kena pastikan industri ini mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) dan syarikat e-hailing 'Mula' bahawa 20 hingga 50 peratus pemandu Grab akan berhenti menjelang Julai ini ekoran pelaksanaan ujian e-hailing.
Loke ditemui selepas merasmikan program khas lesen PSV kepada pemandu e-hailing OKU.
Seramai 256 OKU menduduki ujian bertulis PSV hari ini secara berkelompok di Dewan Serbaguna, Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memberi peluang kepada pemandu OKU sedia ada yang layak, kekal sebagai pemandu e-hailing.
#Anthony Loke #GDMA #Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam #Menteri Pengangkutan #OKU #pemandu dari golongan Orang Kurang Upaya #Persatuan Pemandu Grab Malaysia #PSV #ujian e-hailing
;