Ujian DNA akan sahkan identiti mayat mangsa culik, Bernard Then - KPN
Rahimah Abdullah
November 19, 2015 16:01 MYT
November 19, 2015 16:01 MYT
Ujian DNA akan dibuat bagi mengesahkan sama ada mayat tanpa kepala yang ditemui di Indanan di Kepulauan Jolo, Selatan Filipina, pada Rabu adalah Bernard Then Ted Fen, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menurutnya, sehingga keputusan DNA diperoleh, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada mayat berkenaan adalah warga Malaysia yang diculik di Sandakan pada 14 Mei lalu.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan sampel DNA daripada keluarganya untuk dihantar ke Filipina, secepat mungkin.
"Kita sedang berusaha mendapatkan DNA keluarga mangsa untuk dihantar ke Filipina, selain menunggu DNA mayat terbabit daripada negara berkenaan.
"Mayat terbabit kini ditempatkan di sebuah hospital di Pulau Indanan," katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di sini, hari ini.
Khalid berkata, PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi mempercepatkan proses pengecaman mayat itu.
"Kita tunggu pengesahan rasmi hasil ujian DNA itu nanti dan saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.
"Kita harus faham perasaan keluarga mangsa," katanya lagi.
Then yang berasal dari Sarawak diculik kumpulan militan Abu Sayyaf bersama pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50, dari Restoran Ocean King Seafood di Sandakan, 15 Mei lalu.
Then dipercayai dipenggal oleh kumpulan itu kira-kira jam 4 petang Selasa di kepulauan Jolo, manakala Thien pula dibebaskan pada 8 November lalu.