Ujian COVID-19: Pekerja asing carum Perkeso layak dapat subsidi

Fauzi Suhaimi
November 25, 2020 17:12 MYT
Saravanan berkata, bagaimanapun tarikh kuat kuasa saringan akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pekerja asing yang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Sabah layak mendapat subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) bagi menjalani ujian COVID-19.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ujian saringan berkenaan akan menggunakan kaedah Antigen Rapid Test Kid (RTK Antigen) dan perlu dijalankan di klinik atau hospital yang telah berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan Perkeso (HSP).
Beliau berkata, bagaimanapun tarikh kuat kuasa saringan akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.
"Kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan subsidi PSP Perkeso.
"Perkeso akan membuat bayaran subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan COVID19 yang dijalankan.
"Bayaran ini hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
MKN pada Jumaat lalu telah memutuskan semua pekerja asing yang bekerja di kawasan terbabit wajib menjalani ujian saringan COVID-19.
Dalam pada itu, Saravanan sekali lagi mengingatkan kepada semua majikan agar mengambil langkah proaktif dalam mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
"Perkara itu bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja mereka," ujarnya.
#Saravanan #COVID-19 #pekerja asing #Majlis Keselamatan Negara #Saringan ujian COVID-19 #perkeso #Program Saringan Kesihatan Perkeso
;