Ujian air kencing setiap hari hanya malukan negara - Persatuan Pemandu Bas

Linawati Adnan
April 23, 2014 09:34 MYT
Gambar Hiasan
"Tidak semua pemandu bas di Malaysia penagih dadah, dan tidak adil bagi pemandu-pemandu bas yang lain yang mencari sesuap nasi secara halal dilemparkan dengan tuduhan sebegini."
Begitu kata Presiden Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia Saa'dan Man apabila dihubungi Astro Awani pagi tadi bagi membalas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkenaan semua pemandu bas ekspres perlu menjalani ujian air kencing di semua terminal bas pada setiap hari mulai hari ini.
Bagi Saa’dan, ujian saringan secara rawak di atas jalanraya dan di terminal bas setiap hari hanya akan mengganggu jadual perjalanan bas kerana ianya memakan masa yang lama.
Katanya imej pemandu bas, syarikat dan justeru imej negara akan tercemar kerana saringan dadah di jalanraya dan di terminal bas yang dibuat secara terbuka dapat dilihat oleh penumpang-penumpang yang merupakan pelancong-pelancong dari serata dunia.
Mengikut pengalamannya, kemalangan yang melibatkan bas bukannya hanya disebabkan kelalaian pemandu atau pun pemandu mengambil dadah, ianya lebih kepada keadaan bas yang tidak diselengara secara menyeluruh, juga keadaan fizikal jalanraya di Malaysia yang tidak selamat bagi bas-bas. Contohnya, keadaan jalan di Malaysia yang tidak sesuai dengan berat dan muatan bas seperti bas dua tingkat.
"Walaupun kami tidak bersetuju dengan keputusan ini namun kami pemandu-pemandu bas akan memberi kerjasama kepada pihak kerajaan jikalau langkah saringan dadah di terminal bas setiap hari dan jalanraya secara rawak dijalankan," kata Saa'dan.
Bagi pihak pemandu bas, Presiden ini berharap langkah-langkah yang lebih proaktif dan bijak boleh diambil pihak kerajaan seperti memantau syarikat-syarikat pengusaha bas yang kebanyakkan tidak menjanjikan gaji yang setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pemandu bas.
Katanya, pemandu-pemandu bas di Malaysia ini kurang motivasi dan sentiasa keletihan untuk bekerja kerana sentiasa dikerah untuk memandu dalam jangkamasa yang panjang, tanpa rehat dan gaji yang kecil.
Tambahya, lebih wajar dijalankan ujian saringan di pejabat-pejabat syarikat bas daripada di terminal bas ataupun di jalanraya.
Saa’dan juga menyeru agar pihak kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih kepada keadaan dan penyelengaraan fizikal jalan raya di Malaysia.
Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan bahawa operasi saringan ujian dadah yang melibatkan seramai kira-kira 8,600 pemandu ini akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara JPJ dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Lesen memandu akan ditahan serta-merta sekiranya pemandu tersebut gagal (positif) dalam ujian air kencing itu.
#bas #JPJ #Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia #Saa'dan Man #terminal bas #Ujian air kencing