UiTM universiti pertama miliki, kendali dua stesen janakuasa solar berskala besar

Astro Awani
Januari 10, 2021 21:34 MYT
UiTM kini berupaya menjana tenaga hijau dengan kapasiti 75MWac (92.58 MWp), setaraf dengan universiti-universiti terkemuka dunia.
SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia yang memiliki dan mengendalikan dua stesen janakuasa solar berskala besar (LSSPV) apabila berjaya memulakan operasi komersial stesen LSSPV keduanya di Pasir Gudang, Johor.
UiTM kini berupaya menjana tenaga hijau dengan kapasiti 75MWac (92.58 MWp), setaraf dengan universiti-universiti terkemuka dunia seperti University of California, Stanford University dan University of Queensland.
Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr Mohd Azraai Kassim, keputusan untuk memiliki beberapa stesen LSSPV secara komersial merupakan sebahagian daripada usaha universiti agar mencapai tahap neutral karbon di samping menjana pendapatan yang mampan.
“Fokus utama UiTM adalah untuk memastikan kelestarian dalam segala aspek operasi universiti. Kami akan terus melangkah ke hadapan dalam menjana tenaga bersih ini dengan kerjasama semua pihak fakulti, pelajar dan industri dalam melaksanakan usaha ke arah menyediakan suasana pembelajaran yang lestari di semua kampus kami," katanya dalam satu kenyataan.
Projek stesen janakuasa LSSPV yang dikenali sebagai UiTM Solar Park II (USP II), telah dibangunkan dan dikendalikan oleh UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) menerusi anak syarikat milik penuhnya iaitu UiTM Solar Power Dua Sdn Bhd (USPDSB).
Fasiliti ini dibina di atas tanah berkeluasan 112 ekar dan dijangka akan menyumbang kepada penghindaran pelepasan 28,000 tan karbon dan berkeupayaan untuk menjana 40,000 MWh tenaga bersih setahun.
"Walaupun terdapat banyak cabaran yang timbul berikutan penularan wabak COVID-19, kejayaan untuk mentauliahkan USP II adalah hasil dari kerja keras pasukan USPDSB yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang mendalam dalam projek-projek membangunkan stesen janakuasa LSSPV.
"Ia juga mencerminkan komitmen kumpulan UHSB dalam menyumbang kepada aspirasi Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) negara," kata Norzaimah Maarof, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UHSB
Stesen janakuasa LSSPV pertama UHSB di Gambang, Pahang yang dikenali sebagai UiTM Solar Park I telah memulakan operasi pada 5 April 2019, dengan kapasiti penjanaan sebanyak 61MWp.
#Universiti Teknologi MARA #UiTM #pelajar #operasi #stesen janakuasa solar #tenaga hijau
;