UiTM tangguh Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu

Astro Awani
Oktober 22, 2020 12:07 MYT
UiTM ambil pendekatan tangguh Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu yang dijadualkan bermula pada 7 November 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil pendekatan menangguhkan Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu yang dijadualkan bermula pada 7 November 2020.
Tarikh baharu ditetapkan pada 1 Disember 2020. Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19 dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nora Noordin dalam satu kenyataan berkata, janji temu yang telah dibuat oleh para graduan sebelum ini adalah terbatal dan tidak terpakai.
"Graduan diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh yang baharu melalui Sistem Janji Temu baharu yang akan dibuka pada 26 Oktober hingga 8 November 2020.
"Sila layari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan link tersebut," katanya pada Khamis.
BACA: UiTM beri RM100 secara 'one-off' kepada pelajar terjejas
BACA: UiTM perkenal konvokesyen secara janji temu, ikuti norma baharu
BACA: UiTM tidak halau pelajar, kekeliruan disebabkan salah faham
Menurut Nora, keputusan penangguhan berkenaan dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan semua warga universiti dan para jemputan susulan pandemik COVID-19.
Graduan boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan maklumat terkini sesi penganugerahan tersebut.
Selain itu, graduan juga boleh menghubungi pegawai di Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen melalui talian 03-55443110 atau 03-55443114.
Pihak UiTM akan terus memantau perkembangan wabak ini serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
#MARA #UiTM #Media #pelajar #keselamatan #pandemik #Majlis Keselamatan Negara #ijazah #diploma
;