UiTM Shah Alam buka masjid, kolej untuk mangsa banjir
Bernama
Disember 19, 2021 15:33 MYT
Disember 19, 2021 15:33 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka masjid UiTM Shah Alam sebagai penempatan sementara kepada semua mangsa banjir di sekitar Shah Alam, Selangor susulan banjir teruk yang melanda hampir keseluruhan kawasan di Lembah Klang.
UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan universiti itu turut menyediakan kolej di kampus Shah Alam sebagai tempat perpindahan pelajar dan petugas universiti itu.
Selain itu, UiTM juga memberikan bantuan bas untuk membawa mangsa banjir dari pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa ke Seksyen 16, Shah Alam.
"Bantuan khas banjir kilat untuk warga UiTM telah diwujudkan serta-merta berikutan kejadian ini yang disediakan oleh bahagian zakat, sedekah dan wakaf (ZAWAF) UiTM dan mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian kepada Bendahari UiTM menerusi akaun Affin Islamic Bank (105140003422)," menurut kenyataan itu.
Petugas dan pelajar UiTM di sekitar Lembah Klang yang memerlukan bantuan atau ingin menjadi sukarelawan boleh berhubung dengan Bridged Sukarelawan UiTM Ku Hadzrill melalui talian 0193813863.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor berkata bagi pelajar yang terkesan akibat banjir, semua tugasan yang perlu dihantar pada minggu ini ditangguhkan, manakala warga UiTM yang terjejas juga diberikan cuti khas bagi meringankan beban mereka.
Beliau juga turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan keselamatan agar dipermudahkan segala urusan bagi seluruh warga UiTM yang terkesan akibat banjir.
-- BERNAMA