UiTM sebagai 'hak orang Melayu' tidak tepat
Dania Zainuddin
Januari 15, 2019 20:22 MYT
Januari 15, 2019 20:22 MYT
Persepsi bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah 'hak' orang Melayu dan Bumiputera, tidak tepat.
Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub menegaskan, tujuan asal penubuhan institusi itu lebih 60 tahun lalu adalah untuk membantu golongan Melayu dan Bumiputera yang miskin dan ketinggalan pada masa itu.
Tetapi keadaan kini sudah berubah.
"Tidak ada 'hak orang Melayu' kerana pada asalnya, UiTM ditubuhkan untuk membangunkan orang Melayu yang kekurangan dan dalam kemiskinan.
"Tetapi hari ini, adakah mereka masih kekurangan? Banyak lagi golongan lain yang lebih miskin dari orang Melayu, jangan lupa itu.
"Memang ada dalam Perlembagaan Persekutuan, Artikel 153 untuk menolong orang Melayu, tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Bila ia berubah, peluang kita juga berubah," kata Arshad ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
Arshad yang merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1967 sehingga 1975, berkata sudah tiba masa kemasukan UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing untuk kursus pengajian pascasiswazah.
"Pelajar pascasiswazah ini sudah mendapat latihan selama lima tahun ketika menjalani program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, tidak cukup lagi, kah? Mereka sepatutnya sudah bersedia untuk bersaing.
"Kalau begini, kita macam tidak ada kepercayaan terhadap diri sendiri. Kita mesti ingat, persaingan bukan sahaja antara orang Melayu dan orang Melayu, atau orang Melayu dengan bangsa lain di negara ini. Ia adalah persaingan tahap antarabangsa.
"Ini adalah masalah pemikiran, kita perlu buka minda kita," kata Arshad.
Sejak penubuhannya pada 1956, UiTM sudah mencatatkan lebih 750,000 graduan dan Arshad memaklumkan, ramai telah pun berjaya hingga ke peringkat antarabangsa.
"Ini bukti bahawa mereka mampu untuk bersaing. Jadi kita perlu yakin bahawa pelajar peringkat pascasiswazah UiTM ini mampu bersaing.
"Kita boleh laksanakannya secara berperingkat, terpulanglah. Kita boleh tetapkan jumlah kemasukan pelajar bukan Bumiputera dan pelajar asing," katanya.
Arshad turut menasihatkan pensyarah untuk memegang amanat membangunkan minda pelajar UiTM kepada lebih positif, termasuk meningkatkan semangat persaingan serta berani menunjukkan kebolehan dan kepercayaan diri.
"Pelajar UiTM perlu percaya diri sendiri, jangan takut. Kalau jatuh, bangun semula, jangan putus asa.
"Ini masa kita untuk sibuk bersaing, bukan sesama kita, tetapi bersaing peringkat antarabangsa. Rebut peluang ini.
"Kepada pensyarah, ini adalah satu amanat untuk bangunkan pelajar UiTM," tambahnya.