UiTM lanjut pengecualian sewa premis niaga di seluruh negara selama enam bulan lagi
Astro Awani
Januari 28, 2021 12:19 MYT
Januari 28, 2021 12:19 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melanjutkan pengecualian sewaan selama enam bulan lagi kepada para peniaga yang menyewa premis-premis di seluruh negara, termasuk cawangan-cawangan universiti tersebut.
Lanjutan tempoh pengecualian sewaan itu adalah sebahagian daripada inisiatif UiTM Prihatin, dan ia dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh universiti.
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim, berkata inisiatif itu bagi mengurangkan beban peniaga yang menyewa premis di seluruh negara dan terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Pengecualian khas ini yang diberikan secara automatik kepada penyewa yang layak membabitkan sejumlah 718 penyewa dengan nilai pendapatan sewaan kepada UiTM hampir RM2.74 juta bermula dari 1 Oktober 2020 sehingga 30 Mac 2021," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.
Beliau menambah inisiatif dan insentif khas tersebut juga selari dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi supaya institut Pengajian Tinggi (IPT) memahami kesulitan dan kekangan yang dihadapi para peniaga yang
terkesan susulan pandemik COVID-19.
Kata Mohd Azraai, walaupun ia memberi kesan kepada pendapatan UiTM, ia merupakan insentif tambahan dan kali kedua dilaksanakan selepas pengecualian pertama selama enam bulan diberikan pada April hingga September tahun lalu.
"Pengurusan tertinggi universiti bersimpati dan amat memahami ramai peniaga terjejas apabila majoriti pelajar tidak berada di kampus-kampus dan belajar secara dalam talian di rumah masing-masing.
"Manakala, hanya sebilangan kecil pelajar berada di kolej-kolej kediaman universiti.
“Adalah diharapkan dengan pengecualian tambahan ini akan memberikan kelegaan kepada para penyewa premis yang terkesan dan membolehkan mereka untuk membuat perancangan semula perniagaan yang terjejas dengan sewajarnya ” ujar beliau.