UiTM Kuala Pilah gajah putih?

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 14, 2018 09:45 MYT
UiTM Kuala Pilah menurut ahli Parlimennya, kini menjadi projek gajah putih, kerana tidak memenuhi kapasitinya yang boleh menampung 6,000 pelajar. Astro AWANI
Kuala Pilah layak diangkat sebagai hab pendidikan.
Kenyataan ini berdasarkan faktor persekitaran dan kemudahan sedia ada di pekan kecil ini yang memungkinkan ia diangkap taraf, memandangkan wujud institusi pendidikan di sini yang bukan calang-calang hebatnya.
Antaranya, sekolah tertua di Kuala Pilah - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad, sekolah sukan negeri SMK Za’ba, dan sekolah berasrama penuh Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja'afar.
Juga terdapat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Kejururawatan, Kolej Komuniti, Pusat Matrikulasi, Pusat Giatmara, Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan, Maahad Tahfiz STIFIn Darul Ulum dan Pondok Madrasah Darul Islah - semuanya di sini.
Namun, pekan ini masih tidak dapat pengiktirafan sewajarnya dari segi pendidikan. Kenapa? Di mana silapnya?
Wakil Astro AWANI mengajukan isu ini kepada Ahli Parlimen Kuala Pilah yang baharu, Eddin Syazlee Shith, yang menyuarakan kebimbangan mengenai UiTM Kuala Pilah.
"UiTM ini dah jadi projek gajah putih. Bak kata pepatah, hidup segan, mati tak mahu," katanya merujuk universiti awam itu yang mempunyai dua premis di sini, iaitu UiTM Kampus Beting dan UiTM Kampus Melang.
UiTM Kampus Beting yang merupakan kampus induk, mula beroperasi pada 1 Jun, 2009 dan mempunyai kapasiti 6,000 pelajar.
Bagaimanapun, ia kini hanya mempunyai kira-kira 2,000 pelajar.
Situasi ini, menurut Eddin, didorong beberapa faktor - pertama, kursus yang ditawarkan; kedua, pembukaan kampus UiTM lain di Negeri Sembilan, iaitu di Rembau dan Seremban 3.
"Dulu, UiTM Kuala Pilah adalah kampus induk, kampus tetap negeri. Tetapi, selepas UiTM Rembau dan Seremban 3 dibuka, kampus ini terus sunyi. Masalah ini perlu dibetulkan.
"Mengenai kursusnya pula, saya difahamkan, kebanyakannya tidak 'marketable'. Ia dilihat tiada potensi untuk orang muda memenuhi keperluan pasaran," katanya.
Eddin merupakan wakil rakyat kawasan ini selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei lalu. Beliau mengambil alih dari ahli Parlimen terdahulu, Datuk Seri Hasan Malek.
Pada awal pembukaannya, UiTM Kampus Beting menawarkan dua program Ijazah, empat program Diploma dan program Pra-Sains serta mempunyai Fakulti Sains Gunaan.
Namun, Eddin mendakwa, kursus-kursus yang ditawarkan di kampus itu tidak menarik minat pelajar, membuatkan UiTM itu dipinggirkan.
"Keadaan ini sekali gus merencatkan pembangunan ekonomi di Kuala Pilah. Inap desa, perniagaan-perniagaan lain, habis tidak boleh diteruskan," ujarnya yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Namun, katanya, masih ada harapan.
Beliau telah dimaklumkan baru-baru ini, kursus-kursus baharu akan ditawarkan di UiTM Kuala Pilah dan langkah ini diharap dapat menghidupkan semula Kampus Beting itu.
Sebelum UiTM Kampus Beting beroperasi, UiTM Kuala Pilah terdahulu dibuka pada 1 Jun, 1999, di Jalan Melang, sebagai kampus sementara.
Selain daripada UiTM yang sepi tanpa pelajar, keadaan serupa turut dialami di Kolej Kejururawatan Kuala Pilah.
Meskipun kawasan kolej ini besar dan luas, serta mampu menampung kapasiti 2,000 pelajar, namun kini jumlahnya tidak mencapai tahap itu.
Eddin turut menyentuh mengenai Maktab Rendah Sains MARA yang pernah dijanjikan akan dibina di Kuala Pilah, namun sehingga kini, tiada khabar berita.
Beliau mendakwa, semua permasalahan ini berkaitan dengan isu pengangkutan, di mana akses ke pekan Kuala Pilah, dari bandar-bandar berdekatan, selalu sesak, menyebabkan perjalanan yang sebenarnya singkat menjadi panjang.
"Sistem jalan raya tidak praktikal. Jadi, orang tak nak. Jalan utama selalu sesak. Di kiri kanan jalan ramai peniaga. Orang suka berhenti di tepi jalan.
"Di Kuala Pilah ini, tiada pusat hiburan, tiada panggung wayang. Memang sesuai dijadikan hub pendidikan. Tetapi, kena selesaikan semua masalah ini terlebih dahulu," jelasnya lagi.
#ahli Parlimen #Eddin Syazleen Shith #Gajah Putih #ilmu #Kuala Pilah #pendidikan #UiTM #wakil rakyat
;