UiTM bakal perkenal modul e-sukan sebagai aktiviti kokurikulum
Bernama
Ogos 28, 2020 00:28 MYT
Ogos 28, 2020 00:28 MYT
Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal perkenalkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai antara modul kokurikulumnya pada sesi pengajian semester akan datang.
Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah itu adalah seiring dengan perkembangan industri e-sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Kita sedia maklum, industri e-sukan sedang berkembang pesat terutamanya dalam kalangan generasi muda sekarang dan UiTM turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri itu seiring dengan perubahan landskap pendidikan masa kini.
"Modul baharu ini akan meningkatkan minat pelajar untuk menyertai bidang e-sukan serta ia boleh dijadikan satu ruang kerjaya baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Kitamen Resources Sdn Bhd (Kitamen) di Bangunan Canselori UiTM di sini, pada Jumaat.
Mohd Azraai mewakili UiTM manakala Kitamen diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Hazman Hassan menandatangani MoU untuk membangunkan hab e-sukan di universiti berkenaan yang bertumpu kepada 'Healthy Gaming'.
Menurut beliau, pengenalan modul baharu itu juga secara tidak langsung akan mendedahkan pelajar kepada bidang teknologi digital yang berkaitan dengan sukan, menerusi pendidikan dan penyelidikan.
Mohd Azraai berkata industri e-sukan turut dilihat sebagai platform terbaik yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar universiti tersebut.
"Kerjasama ini juga dapat membantu UiTM untuk membangunkan modul mengikut standard e-sukan yang ditetapkan.
"Kitamen adalah platform terbaik kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang digital dan teknologi media, pembangunan aplikasi dan permainan e-sukan," katanya.
-- BERNAMA
#e-sukan
#Kitamen Resources
#MARA
#Mohd Azraai Kassim
#MoU
#pelajar
#pendidikan
#sukan
#UiTM
#Universiti Teknologi MARA