UiTM ambil langkah kerjasama strategik untuk perkasakan graduan - Pro Canselor

Bernama
Jun 13, 2023 21:25 MYT
Zarinah Anwar berkata perjanjian persefahaman itu dapat membuka ruang bagi mempertingkat perkongsian kepakaran dan kualiti pembelajaran serta menyediakan para graduan dengan realiti dunia pekerjaan. - Gambar fail/Bernama
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengadakan perjanjian persefahaman dengan beberapa rakan strategik termasuk agensi kerajaan dan industri sebagai antara langkahnya untuk memperkasakan graduan keluarannya.
Pro Canselor UiTM Tan Sri Zarinah Anwar berkata perjanjian persefahaman itu dapat membuka ruang bagi mempertingkat perkongsian kepakaran dan kualiti pembelajaran serta menyediakan para graduan dengan realiti dunia pekerjaan.
"Kehendak majikan hari ini bukan sekadar melihat kecemerlangan akademik sahaja tetapi menilai kemahiran serta kebolehan dari pelbagai sudut dalam mengenal pasti calon yang holistik dan berpotensi tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA UiTM ke-96, di UiTM Cawangan Sarawak di sini, hari ini yang melibatkan seramai 1,151 graduan peringkat ijazah dan diploma.
Menurutnya prospek pekerjaan pada tahun ini diramal bertambah baik dan stabil berikutan pemulihan dan pembukaan semula ekonomi selepas COVID-19 dan ini menyumbang kepada peningkatan permintaan tenaga kerja dalam semua bidang pekerjaan.
Malaysia adalah di antara negara yang akan mendapat manfaat daripada penjanaan pekerjaan baharu, namun dijangka persaingan tetap sengit. Majikan akan memilih bakat yang terbaik yang mempunyai kecekapan menangani cabaran dan memenuhi keperluan pekerjaan yang semakin kompleks," tambahnya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #UiTM #keperluan pekerjaan #kualiti pembelajaran
;