Ugutan terhadap Mirzan: Tun M adakan sidang media khas Isnin depan
Sinar Harian
Januari 20, 2024 15:23 MYT
Januari 20, 2024 15:23 MYT
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan satu sidang media khas pada Isnin depan bagi mengulas isu-isu semasa serta dakwaan mengenai ugutan terhadap anaknya, Mirzan.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan ketika ditanya pihak media.
"Tunggu Isnin nanti (sidang media khas)," katanya ketika ditemui selepas Sesi Minda Negarawan: Iktibar 150 tahun Perjanjian Pangkor di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Dr Mahathir menerusi hantaran di laman Facebook menempelak kerajaan yang dikatakan bertindak zalim terhadap musuh politik susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat anaknya itu berhubung dakwaan pengubahan wang haram.
Mirzan diperintahkan untuk isytihar aset alih dan tidak alih sama ada di dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh diberikan notis.
Perintah tersebut merupakan tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC). - Sinar Harian