Ugutan dan ancaman tidak lunturkan semangat pegawai dan anggota JPJ
Bernama
Februari 7, 2018 22:35 MYT
Februari 7, 2018 22:35 MYT
Sebarang ugutan dan ancaman tidak akan melemahkan serta melunturkan semangat pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan siasatan, kata ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Beliau turut menegaskan warga JPJ juga tidak gentar serta komited dalam menegakkan undang-undang agar sebarang usaha menangani isu keselamatan jalan raya dapat ditangani secara bersepadu.
"Sebelum ini, memang ada pelbagai ancaman tetapi tidak berpanjangan. Ia sekadar ugutan sahaja dan tidak ada bukti ia berpanjangan kepada insiden-insiden yang tidak diingini seperti perbuatan khianat atau membakar kenderaan.
Jadi, ugutan seperti ini sewajarnya tidak melunturkan semangat pegawai menjalankan tugas mereka kerana JPJ biasa menerima ancaman sebegitu," katanya kepada pemberita selepas menunjukkan demonstrasi pemasangan pelekat Pemantul Cahaya MS 828:2011 kepada kenderaan perdagangan di perkarangan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Shaharuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebakaran yang memusnahkan tiga kenderaan milik JPJ dan dua kenderaan awam yang disita dan diletakkan di kawasan parkir Stesen Penguatkuasaan JPJ, Timbang Lori di Kuala Kangsar, Perak semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak mempunyai rekod jumlah ugutan yang diterima oleh warga JPJ secara keseluruhan, namun akan melihat perkara ini secara lebih mendalam.
Mengenai pemasangan pelekat pemantul cahaya, Shaharuddin berkata tempoh percubaan selama enam bulan serta kempen akan dijalankan bagi memastikan kenderaan perdagangan memasang pelekat pemantul cahaya itu sebelum penguatkuasaan dilaksanakan secara rasmi.
Beliau berkata ini adalah bagi memastikan ia mudah dilihat dengan jelas oleh pengguna kenderaan lain pada waktu malam pada sesuatu jarak.
Katanya, setiap pemandu juga dikehendaki membawa segi tiga keselamatan dan menggunakannya ketika kenderaan tersebut tidak dapat bergerak akibat kerosakan di mana-mana jalan raya.
"Kajian mendapati banyak laporan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan dan bas berlaku di lorong-lorong kecemasan dan laluan perlahan melibatkan 1,713 kes kemalangan langgar belakang.
"Sebabnya, ramai tidak mempunyai segi tiga keselamatan dan bertindak meletakkan barang yang dijumpai dalam kenderaan sebagai tanda memberi amaran kepada pengguna. Jadi pengguna kena ubah sikap dan patuhi peraturan yang ditetapkan,"katanya.
-- BERNAMA
#Amanah
#jalan raya
#JPJ
#keselamatan
#komitmen
#pengangkutan
#pengguna kenderaan
#Peraturan
#undang-undang