Ugutan bom dalam pesawat: Pengarah syarikat didakwa

Astro Awani
Mei 30, 2016 16:27 MYT
Pesawat yang mahu berlepas ke Singapura difahamkan mendarat semula di lapangan terbang Subang selepas menerima panggilan ugutan bom.
Seorang pengarah syarikat didakwa di mahkamah majistret di sini, hari ini, atas tuduhan ugutan bom di dalam pesawat Firefly 3251 dari Lapangan Terbang Subang ke Singapura, dua minggu lalu.
Tertuduh, Woong Choon Loong, 41, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Abdul Karim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Choon Loong didakwa melakukan ugutan jenayah melalui telefon dengan menyatakan terdapat bom dalam pesawat berkenaan dengan niat hendak menyebabkan ketakutan.
Perbuatan itu dilakukan di pejabat perkhidmatan awam pelanggan Firefly, Citta Mall, Jalan PJU 1A/48, di sini, jam 7.36 petang, pada 17 mei lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.
#lapangan terbang Subang #Mahkamah Majistret #pesawat #ugutan bom
;