Ugut letupkan rakan kongsi dengan bom tangan

Astro Awani
Januari 13, 2018 20:26 MYT
Suspek bagaimanapun ditahan polis selepas mangsa membuat laporan berhubung ugutan berkenaan.
Gara-gara bimbang syarikat diisytihar muflis, seorang lelaki bertindak mengugut rakan kongsinya untuk meletupkan mereka berdua menggunakan bom tangan.
Suspek bagaimanapun ditahan polis selepas mangsa membuat laporan berhubung ugutan berkenaan.
Suspek berusia lingkungan 30-an ditahan itu di sebuah kondominuim dekat Jalan Kuchai Lama, di sini hasil risikan anggota polis.
Polis turut merampas sebuah objek dipercayai bom tangan.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Roslan Khalid berkata, polis belum memastikan sama ada bom tersebut palsu ataupun tidak.
"Bom itu pun kita belum pasti lagi sama ada bom palsu ataupun tidak dan kita sedang menjalankan siasatan.
“Buat masa ini, untuk makluman semasa kejadian kita dah tutup semua blok (kondominium) ini supaya jangan ambil risiko. Jadi sekarang ini unit bom dan unit K9 sudah memeriksa kawasan tersebut dan ia didapati selamat," katanya.
Objek dipercayai bom tangan itu ditemui tertanam di perkarangan kondominum terbabit.
Setakat ini, motif sebenar masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api.
Bagaimanapun, polis menolak andaian ia membabitkan kegiatan pengganas.
#bom tangan #Brickfields #Jalan Kuchai Lama #kondominium #rakan kongsi #ugut
;