Uggah selamat jalani pembedahan kecil, bercuti rehat sebulan

Astro Awani
November 17, 2020 22:58 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.- Foto BERNAMA
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kecil bagi membuka arteri jantung di sebuah hospital swasta di sini.
Perkara itu dimaklumkan pembantu terdekatnya yang turut mengesahkan Uggah akan bercuti rehat selama sebulan.
Tambahnya lagi, Uggah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
Beliau pada masa sama berharap agar rakyat Sarawak sentiasa waspada serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum itu hadir ke hospital berkenaan pada pagi Selasa untuk mendapatkan rawatan kerana tidak sihat
.
Sepanjang tempoh rehat berkenaan tugas mempengerusikan mesyuarat harian (JPBNS) akan diwakili individu lain yang akan dimaklumkan nanti.
Sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pernah mewakili Uggah mengadakan sidang media COVID-19.
#Douglas Uggah #Sarawak #COVID-19 #JPBNS #cuti rehat #pembedahan kecil #Timbalan Ketua Menteri Sarawak
;