Uggah beri jaminan projek mega termasuk Pan Borneo Sarawak tidak dihentikan
Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 18, 2022 11:31 MYT
Julai 18, 2022 11:31 MYT
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi jaminan projek mega yang sedang dibangunkan di bawah peruntukan Kerajaan Pusat tidak akan terkesan dengan langkah penjimatan perbelanjaan yang diambil kerajaan.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu berkata antara projek yang tidak akan terjejas ialah pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai RM16.117 bilion.
“Seperti Projek Pan Borneo mereka (kerajaan pusat) tidak akan menghentikan projek ini, bagaiamanapun semua projek di bawah peruntukan kerajaan negeri tidak akan terjejas dengan polisi penjimatan ini.
"Tetapi apa yang dimasukkan oleh Kerajaan Pusat itu adalah projek-projek yang belum bermula atau projek-projek yang menghadapi masalah seperti masalah tanah atau mungkin kontraktor, kita tunggu maklumat terperinci mengenai perkara ini,” katanya selepas meninjau keadaan trafik lalu lintas di jejambat batu 6 di Kuchingg pada Isnin.
Jejambat sepanjang 5.12 kilometer itu mula dibuka untuk laluan pengguna jalan raya pada 15 Julai, Jumaat lalu dan akan siap sepenuhnya penghujung bulan ini.
Mengulas lanjut tindakan pembekuan penghantaran pekerja Indonesia ke Malaysia, Uggah memberitahu kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sentiasa mencari jalan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh terutama dalam sektor pembinaan jalan.
“Kementerian kita sedang menilai situasi ini bersama pihak JKR untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu yang berkaitan, untuk projek ini (jejambat batu 6) tidak menghadapi apa-apa masalah, mereka mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.
"Pembekuan penghantaran pekerja ini adalah isu di peringkat nasional, maka kementerian berkaitan di peringkat pusat sedang mencari cara untuk menyelesaikan perkara ini kerana ia bukan sahaja melibatkan kerja-kerja dalam industri pembinaan termasuk industri perladangan dan juga industri pembantu rumah,” ujarnya lanjut.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan hanya menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula.
Ia sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat selaras arahan yang dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk "Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam".