UEM Edgenta mahu terus perkasa PSH dengan pemantapan modal insan, aplikasi teknologi terkini

Israr Khalid
Oktober 3, 2024 18:57 MYT
UEM Edgenta telah diberi kepercayaan mengendalikan PSH untuk 32 buah hospital kerajaan di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sejak 1997. - Foto UEM Edgenta
KUALA LUMPUR: Pembangunan kemahiran pekerja bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan teknologi terkini dan digitalisasi menjadi fokus utama UEM Edgenta Berhad untuk membawa mutu perkhidmatan sokongan hospital (PSH) mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Syarikat itu percaya bahawa jalinan sentuhan manusia dengan kecanggihan teknologi dapat menyampaikan perkhidmatan menyeluruh terunggul kepada pelanggan, dan mereka dapat memainkan peranan besar dalam kemajuan penjagaan kesihatan negara.
Diterajui salah satu anak syarikatnya iaitu Edgenta Mediserve Sdn Bhd (Mediserve), UEM Edgenta telah diberi kepercayaan mengendalikan PSH untuk 32 buah hospital kerajaan di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sejak 1997.
Dengan tenaga kerja kira-kira 4,500 kakitangan, PSH UEM Edgenta meliputi enam skop bidang iaitu Perkhidmatan Penyelenggaraan Kejuruteraan Fasiliti (FEMS), Perkhidmatan Penyelenggaraan Kejuruteraan Biomedikal (BEMS), Perkhidmatan Pembersihan (CLS), Perkhidmatan Pendobian dan Penyediaan Linen (LLS), juga Perkhidmatan Pengurusan Sisa Buangan Kesihatan (HWMS).
Untuk memastikan semuanya berfungsi dengan baik dan cekap, ia disepadukan di bawah Sistem Maklumat Aset dan Perkhidmatan (ASIS) yang dipastikan ketersediaannya oleh Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti.
Berpengalaman luas dan mendalam selama 27 tahun dalam PSH, Edgenta Mediserve turut mengendalikan PSH di hospital-hospital swasta di serata negara.
Ketua Penyelesaian Penjagaan Kesihatan, UEM Edgenta merangkap Pengarah Urusan Edgenta Mediserve, Shaiful Subhan menegaskan bahawa kecekapan perkhidmatan boleh disampaikan apabila manusia dan teknologi saling melengkapi.
“Kami fokus untuk menjalankan operasi seperti yang termaktub dalam konsesi serta mengikut garis panduan dan penanda aras yang ditetapkan.
“Kalau kami boleh laksanakannya dengan lancar dan terbaik, maka pihak petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat dapat fokus kepada tugas utama mereka iaitu merawat tanpa risau dan ragu tentang pengoperasian hospital.”
Kecekapan PSH UEM Edgenta diperkuat dengan penerapan teknologi seperti Sistem Penggunaan dan Pemantauan Aset (AUMS), penggunaan robot dalam kerja-kerja pembersihan dan pencucian, Sistem Penjejakan Ambulans menggunakan teknologi GPS, dan pemasangan tenaga solar untuk menyahut seruan pengurangan jejak karbon.
Malah, penambahan sistem pusat pembakaran ketiga di Loji Pembakaran Kamunting menyumbang kepada penghasilan wap yang boleh diguna pakai semula untuk pemprosesan linen di Loji Pendobian Kamunting, memperlihatkan keseriusan mereka melaksanakan program kelestarian berterusan.
Begitupun, tegas Shaiful, paling penting adalah tenaga kerja manusia yang berkemahiran dan sedia masa depan.
“Kami percaya bahawa jika mereka boleh meningkatkan kemahiran dan kompetensi menerusi kursus-kursus jangka pendek dan panjang, mereka boleh melakukan kerja dengan lebih efisien.
“Banyak latihan yang kami adakan termasuk secara dalaman di Pusat Teknologi Penjagaan Kesihatan (HTec) kami di Juru, Pulau Pinang juga di Pusat Pembelajaran UEM Edgenta di Petaling Jaya, Selangor.”
Tidak hanya penumpuan kepada mengambil dan melatih tenaga kerja tempatan, malah peluang perniagaan diberi kepada syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera serta kemahiran pengkhususan perkhidmatan kepada syarikat yang menjadi sub-kontraktor atau rakan niaga UEM Edgenta.
“Majoriti pekerja, boleh saya katakan datang daripada kawasan sekitar, jadi kita jana peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan supaya mereka boleh bekerja bersama kami.”
Bergerak ke hadapan, UEM Edgenta mahu terus memacu dan menjadi peneraju dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan fasiliti dan penjagaan kesihatan yang komprehensif, dengan memantapkan perkhidmatan sedia ada juga menawarkan sesuatu dalam kapasiti mereka yang dapat membantu negara mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan.
Antaranya meningkatkan dan mempelopori penerapan teknologi digital seperti Internet Kebendaan (IoT), analitik data, serta Kecerdasan Buatan (AI) yang dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos, dan memperbaiki mutu perkhidmatan penjagaan pesakit.
Turut diberi perhatian adalah pembangunan inovasi berasaskan data dengan memanfaatkan data raya untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih tepat berasaskan bukti dalam pengurusan kesihatan - di samping mengembangkan perniagaan.
“Banyak lagi model perniagaan yang boleh kita utarakan kepada kerajaan, dengan niat menampung dan menguruskan kos perbelanjaan kerajaan untuk jangka masa yang lebih panjang.
Jelas Shaiful, banyak potensi dapat dipenuhi dan hasil dapat diraih melalui kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan, sektor swasta, dan rakan kongsi antarabangsa, bagi memperkenalkan teknologi baharu, meningkatkan kapasiti kemudahan kesihatan, dan memperluas capaian perkhidmatan ke kawasan luar bandar.
Pemantapan modal insan, aplikasi teknologi terkini perkasa PSH
#UEM Edgenta #Edgenta Mediverse #PSH
;